
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menyifatkan pelaburan Amazon Web Services (AWS) di Malaysia adalah kritikal untuk membantu negara menstruktur semula dan mendigitalkan ekonomi.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata Malaysia memerlukan data yang terperinci dan boleh dicapai dalam masa sebenar melalui ekosistem yang mendorong proses 'eksperimentasi dan pembelajaran'.
Prasyarat ekosistem itu jelasnya mestilah infrastruktur data yang murah, boleh skala dan selamat.
"Platform pengkomputeran awan seperti AWS memenuhi ketiga-tiga ciri ini maka kerajaan komited untuk menyokong penerapannya dengan pantas.
"Pelaburan ini juga penting untuk mewujudkan sektor awam dengan pendekatan 'cloud-first', yang berkecekapan menyampaikan perkhidmatan awam secara digital demi kesenangan rakyat dan juga menggunakan data untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam secara berterusan," kata Rafizi.
Beliau mengulas pengumuman AWS untuk membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.
Dalam kenyataan sama Rafizi berkata, kerajaan menyambut baik pelaburan AWS untuk menubuhkan wilayah data di Malaysia sebagai salah satu pelaburannya yang terbesar setakat ini.
Pelaburan itu jelasnya akan memberi impak yang besar kepada inovasi dan transformasi digital di negara ini.
"Malaysia amat bangga AWS telah memilih Malaysia sebagai lokasi penting dalam pasaran wilayah data yang berkembang pesat di rantau ASEAN," tambah Rafizi.
Sehubungan itu jelasnya, Kementerian Ekonomi akan memimpin transformasi digital Malaysia melalui inisiatif MyDigital yang akan memacu inovasi dan penggunaan teknologi terkini di seluruh sektor ekonomi.
"Salah satu fokus utama MyDigital adalah untuk hasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor digital dan data, bagi memastikan Malaysia terus kompetitif serta dapat beralih ke masyarakat digital.
"Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan akan memfokuskan usaha pada program yang akan membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran untuk menyahut cabaran ini, sejajar dengan aspirasi Malaysian Digital Economy Blueprint untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh digitalisasi yang padu," katanya sambil menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat digital terulung di ASEAN.