Pelaburan aeroangkasa lonjak ekonomi, bakat muda - Amirudin
- Suara Keadilan

- Jul 25
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Usaha Kerajaan Negeri Selangor membangunkan industri aeroangkasa bukan semata-mata untuk meraih pelaburan ekonomi, tetapi turut membuka ruang luas kepada golongan belia meneroka bidang kejuruteraan dan teknologi berimpak tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor komited menjadikan sektor aeroangkasa sebagai pemacu pertumbuhan masa depan dan telah melaksanakan beberapa inisiatif penting ke arah itu.
"Usaha ini bermula dengan pembangunan kemudahan hab kargo udara di Selangor Aero Park (SAP), Sepang, sehinggalah kepada pertemuan strategik dengan pengeluar pesawat mesra alam, Deutsche Aerospace yang menghasilkan pesawat Do328Eco, sempena Pameran Udara Antarabangsa Paris 2025 (IPAS2025) baru-baru ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, potensi penglibatan Selangor dalam projek pesawat hijau seperti Do328Eco bukan hanya menawarkan peluang ekonomi baharu, malah mencerminkan komitmen negeri terhadap pembangunan industri yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
"Teknologi pesawat ini amat sesuai digunakan di kawasan terpencil kerana ia boleh berlepas dan mendarat tanpa memerlukan landasan panjang," tambahnya.
Amirudin turut membayangkan bahawa sekiranya kerjasama pelaburan bersama Deutsche Aerospace berjaya dimeterai, ia bakal membuka banyak peluang pekerjaan berkualiti terutamanya untuk anak muda tempatan.
"Selangor sedang melangkah ke hadapan bukan sebagai penumpang, tetapi sebagai pemain utama dalam industri masa depan Asia Tenggara," tegas beliau.
Selangor Aero Park merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 yang dijangka menyumbang RM55.2 bilion kepada ekonomi negara setiap tahun serta mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan menjelang 2030.









Comments