Pelabuhan Bintulu diserah ke Sarawak: PMX tekankan pencapaian MA63


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak sebagai satu pencapaian signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata perkara itu turut mencerminkan pengiktirafan terhadap hak dan kedudukan Sarawak sebagai salah satu rakan pengasas Malaysia.
"Selamat tiba di Kuching dan terus bersama-sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Majlis Penyerahan Pelabuhan Bintulu Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Sarawak," katanya dalam hantaran di medoa sosial.
Anwar berkata demikian selepas tiba di Kuching dan menghadiri Majlis Penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak, bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam majlis berkenaan, kedua-dua pemimpin menyaksikan penyerahan Warta Kerajaan Persekutuan oleh Menteri Pengangkutan kepada Timbalan Premier Sarawak.
Pelabuhan Bintulu secara rasmi telah beralih daripada pelabuhan Persekutuan kepada pelabuhan negeri di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak berkuat kuasa 1 September 2026.
Peralihan itu dibuat susulan penguatkuasaan dua akta berkaitan, manakala operasi harian Pelabuhan Bintulu diteruskan tanpa gangguan. Bintulu Port Sdn Bhd kekal sebagai pengendali pelabuhan di bawah rangka kerja kawal selia negeri.
Anwar turut menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengurus serta mengendalikan Pelabuhan Bintulu dengan cekap dan sebaiknya.
"Saya ulangi keyakinan Kerajaan Persekutuan bahawa Kerajaan Sarawak mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk mengurus serta mengendalikan Pelabuhan Bintulu dengan cekap dan sebaiknya, Insya-Allah," katanya.
Penyerahan itu menjadi antara perkembangan penting dalam hubungan Persekutuan-Sarawak dan pelaksanaan perkara berkaitan MA63.




Comments