top of page

Pejabat AI Kebangsaan operasi November ini, Malaysia hab pusat data



Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) kebangsaan di bawah seliaan MyDigital Corporation akan mula beroperasi pada November ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.


Beliau berkata fokus utama Pejabat AI Kebangsaan itu adalah untuk merangka ekosistem yang memastikan Malaysia boleh menjadi hab AI di rantau ini.


"Semasa mesyuarat Kabinet dua minggu lalu, kita telah meluluskan cadangan untuk menubuhkan pejabat AI Kebangsaan ini.


"Diharapkan pejabat ini akan beroperasi pada bulan November nanti," katanya dipetik selepas majlis perasmian pejabat baru SAS Institute Sdn Bhd di Menara IQ di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur hari ini.


Gobind berkata pejabat kecerdasan buatan itu dilihat mampu menarik perhatian pelabur dari seluruh dunia untuk melihat Malaysia sebagai destinasi utama dalam pusat data dan ekosistem berkaitan.


"Kita melihat kepentingan teknologi baharu dan keperluan untuk mempersiapkan negara kita untuk teknologi ini. Dengan penubuhan pejabat AI kebangsaan ini, Malaysia telah mengambil langkah untuk memastikan kita menjadi peneraju dalam bidang ini di peringkat global," katanya.


Terdahulu dalam ucapannya, Gobind berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memulakan projek pembangunan bakat AI dengan melatih lebih 12,000 murid sekolah dalam robotik, AI dan pemikiran pengiraan.


Di peringkat pengajian tinggi, katanya MDEC telah melatih 628 pensyarah dalam AI manakala 1,665 pelajar telah menyertai pertandingan berkaitan AI.


Jelasnya ekonomi digital ASEAN dijangka mencecah AS$1 trilion menjelang 2030 namun rantau ini masih kekurangan kumpulan bakat dalam bidang digital.


"Kita tidak boleh bergantung kepada bakat asing sahaja. Usaha mesti diambil untuk memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan. Pembangunan bakat pastinya akan menjadi bahan perbincangan utama apabila Malaysia memegang jawatan pengerusi ASEAN tahun depan," kata Gobind lagi.


Di Bawah Pelan Tindakan Ekonomi Digital, kerajaan sebelum ini menetapkan sasaran untuk membangunkan 30,000 profesional data menjelang 2025.


Dalam pada itu mengenai SAS Institute Malaysia, Gobind berkata pusat latihan itu menyokong Inisiatif Kemahiran Semula dan Peningkatan Kemahiran MDEC dengan menawarkan kursus dan pensijilan diskaun dalam Sains Data dan AI.


"Kursus-kursus itu akan menyediakan tenaga kerja dengan kemahiran termaju yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap digital yang berkembang," ujarnya.


Inisiatif itu menyaksikan 100 pelajar dan pendidik dilatih menjelang akhir tahun 2025.


"Saya akan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk bekerjasama dengan Kementerian Digital untuk mewujudkan kumpulan bakat yang lebih besar.


"Pendidikan adalah proses sepanjang hayat, dan begitu juga dengan mengikuti perkembangan teknologi terkini," katanya lagi.

0 comments

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page