top of page

PeBS anjur ‘Sembang Pencerahan’ angkat tradisi diskusi politik anak muda

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Nov 28
  • 2 min read
Sembang Pencerahan Siri 1: Reformasi ’98 Untuk Pemula kukuhkan  agenda pembangunan minda belia
Sembang Pencerahan Siri 1: Reformasi ’98 Untuk Pemula kukuhkan  agenda pembangunan minda belia

Oleh: Azuan Ab Rahman


Penggerak Belia Selangor (PeBS) terus memperkukuh agenda pembangunan minda belia dengan menganjurkan program ‘Sembang Pencerahan Siri 1: Reformasi ’98 Untuk Pemula’.


Program anjuran bersama PeBS Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Zon 16 dan Zon 19 itu berlangsung pada Rabu di Pusat Khidmat DUN Kota Anggerik, dengan sokongan penuh Exco Belia Selangor, Mohd Najwan Halimi.


Menurut kenyataan bersama Pengerusi PeBS Zon 16, Khairul Naim Rafizi dan Pengerusi PeBS Zon 19, Muhammad Alif Imran Rafique Ali, program tersebut memberi penekanan kepada literasi politik, pendidikan sivik dan pembudayaan wacana awam yang matang dalam kalangan anak muda, khususnya di Shah Alam.


"Inisiatif ini menyahut gesaan Exco Belia agar pemimpin muda kembali kepada semangat sapere aude — keberanian berfikir — seperti ditegaskan tokoh falsafah Immanuel Kant," kata mereka.


Acara malam itu menampilkan aktivis dan penulis berpengalaman, Fathi Aris Omar, yang terbabit dalam dunia kewartawanan, gerakan masyarakat sivil dan perbincangan politik sejak era pra-Reformasi.


Bekas Ketua Pengarang di Malaysiakini - salah satu portal paling berpengaruh itu mengupas konteks sejarah Reformasi 1998, dinamika masyarakat pada ketika itu serta nilai-nilai politik era itu yang terus relevan untuk generasi hari ini.


"Acara diteruskan dengan sesi soal jawab dan refleksi, memberi ruang kepada peserta untuk bertanya, berdiskusi dan menghubungkan sejarah dengan cabaran semasa," kata kenyataan tersebut.


Menerusi kenyataan sama mereka menzahirkan keyakinan bahawa penganjuran program itu bakal menjadi langkah mengukuhkan tradisi pencerahan di Shah Alam, dengan Kota Anggerik sebagai tapak permulaan.


"PeBS percaya bahawa generasi muda yang memahami sejarah dan mampu membaca realiti zamannya akan menjadi warga yang lebih berprinsip, kritis dan bersedia menyumbang kepada masyarakat serta negeri.


"Sembang Pencerahan Siri 1 merupakan permulaan kepada empat siri program pencerahan yang akan berlangsung di Shah Alam, merangkumi topik sejarah, pemikiran sosial, kepimpinan belia dan kematangan demokrasi," tambah mereka.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page