Kemalangan LRT di ibu negara kelmarin yang melibatkan 47 penumpang cedera parah, 6 kritikal dan 166 cedera ringan perlu disiasat secara rapi oleh pasukan petugas khas yang bakal ditubuhkan
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sebarang kecuaian menyebabkan kemalangan itu berlaku harus diambil tindakan undang-undang tanpa melindungi sesiapa.
"Saya difahamkan sistem LRT dibina mempunyai dua trek yang berlawanan arah, yang sepatutnya tidak memungkinkan pelanggaran bertembung seperti mana yang berlaku.
"Pasukan petugas khas (taskforce), yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan akan penubuhannya, perlu menjalankan siasatan dengan bebas dan telus bagi mengenalpasti sebab dan pihak yang mengambil pertanggungjawaban (accountability) ke atas insiden ini.
"Tindakan undang-undang mestilah diambil tanpa diselindungi sesiapa," katanya dalam satu kenyataan.
Di samping itu, mantan Presiden KEADILAN tersebut mengharapkan agar mangsa kemalangan berkenaan mendapat rawatan terbaik dan tidak mencetuskan kluster Covid 19 baharu kerana kurang amalan SOP yang boleh dilakukan dalam keadaan kecemasan.
"Adalah menjadi harapan kita agar setiap penumpang yang terlibat diberi rawatan perubatan segera dengan penuh perhatian dan dengan percuma, diiringi doa agar semua yang tercedera akan sembuh dan dapat pulih sepenuhnya.
"Kita juga mohon agar keluarga yang terlibat dapat bersabar dalam menangani kemalangan yang tidak dijangka ini.
"Saya sangat berharap agar insiden ini tidak akan mencetuskan satu kluster baru COVID-19," katanya.
Beliau juga turut berharap agar insiden seperti itu tidak akan berulang lagi.
Comments