top of page

Pasport Malaysia nombor 2 dunia, bukti keyakinan terhadap sistem keselamatan negara

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
7 hours ago
2 min read
Dua gadis menunjukkan pasport Malaysia baharu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, 30 Jun 2026. Foto Ihsan KDN melalui Facebook
Dua gadis menunjukkan pasport Malaysia baharu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, 30 Jun 2026. Foto Ihsan KDN melalui Facebook

Kedudukan Pasport Malaysia yang melonjak ke tangga kedua dunia dengan akses ke 175 destinasi antarabangsa mencerminkan semakin kukuhnya keyakinan dunia terhadap kestabilan, keselamatan dan integriti sistem negara, demikian kata Pengarah Strategi KEADILAN Selangor Mohd Yahya Mat Sahri.


Beliau berkata pencapaian itu wajar dilihat lebih jauh daripada sekadar kedudukan dalam indeks antarabangsa kerana ia membuka ruang lebih luas kepada rakyat Malaysia dalam pendidikan, kerjaya, perniagaan dan pelaburan.


“Ini bukan sekadar angka di atas sebuah indeks antarabangsa.


“Ini adalah cerminan keyakinan dunia terhadap Malaysia dan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Berdasarkan The Passport Index Global Ranking 2026, Malaysia berkongsi kedudukan kedua bersama Singapura dengan skor mobiliti 175 di belakang Emiriah Arab Bersatu yang mencatat skor 182.


Pemegang Pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi termasuk 129 destinasi tanpa visa dan 46 destinasi yang menyediakan kemudahan visa semasa ketibaan.


Mohd Yahya yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri berkata peningkatan daripada kedudukan ketiga tahun lalu menunjukkan semakin luasnya mobiliti antarabangsa yang dinikmati rakyat Malaysia.


Kata beliau kekuatan pasport bukan hanya memberi kemudahan untuk melancong tetapi turut membawa peluang lebih besar kepada rakyat untuk membina kehidupan dan jaringan di peringkat antarabangsa.


“Seorang pelajar Malaysia boleh melihat dunia dengan lebih terbuka, usahawan boleh mencari pasaran baharu dan profesional boleh membina jaringan antarabangsa.


“Seorang rakyat biasa boleh bergerak merentasi sempadan dengan lebih mudah dan yakin,” katanya.


Menurut beliau, pencapaian itu juga perlu dilihat dalam konteks usaha berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperkukuh integriti dokumen perjalanan serta keselamatan sistem imigresen.


Mohd Yahya turut merakamkan tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas pencapaian berkenaan.


Mohd Yahya Mat Sahri
Mohd Yahya Mat Sahri

Beliau berkata keselamatan sempadan dan mobiliti rakyat perlu bergerak seiring bagi memastikan Malaysia terus mempunyai sistem imigresen yang kukuh serta diyakini masyarakat antarabangsa.


“Kita mahu sempadan negara kita kukuh, tetapi pada masa yang sama rakyat Malaysia diberikan mobiliti yang luas untuk bergerak, belajar, bekerja dan berniaga di seluruh dunia,” katanya.


Dalam pada itu, Mohd Yahya berkata kedudukan kedua dunia tidak seharusnya menjadi titik akhir sebaliknya menjadi dorongan untuk KDN dan JIM terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan serta mempertahankan integriti dokumen perjalanan Malaysia.


“Jangan berhenti di nombor dua. Pencapaian ini mesti menjadi motivasi untuk Malaysia terus memperkukuh sistem imigresen, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mempertahankan integriti pasport serta memperluaskan lagi hubungan dan kerjasama antarabangsa,” katanya.


Beliau berkata matlamat akhirnya ialah memastikan lebih banyak pintu dunia terbuka kepada rakyat Malaysia berdasarkan reputasi, integriti, keselamatan dan tahap kepercayaan terhadap negara.


“Pasport kuat. Rakyat bergerak. Peluang berkembang. Ekonomi bertumbuh. Malaysia semakin diyakini dunia,” katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page