Tiba masa senarai hitam imigresen Sarawak dikaji semula - Roland Engan


Kerajaan Sarawak digesa mengkaji semula senarai individu yang dihalang memasuki negeri itu termasuk menilai asas, tempoh dan keperluan setiap sekatan supaya kuasa autonomi imigresen digunakan secara adil, telus dan berkepentingan awam.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan berkata gesaan itu dibuat susulan insiden Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman, yang dihalang memasuki Sarawak selepas tiba di Lapangan Terbang Miri pada 29 September lalu.
“Saya menghormati dan tidak mempersoalkan kuasa autonomi imigresen Sarawak untuk menentukan kemasukan individu ke Sarawak.
“Namun dalam semangat keterbukaan, keadilan dan kepentingan rakyat, saya berpandangan bahawa sudah tiba masanya Kerajaan Sarawak mengkaji semula nama-nama individu yang disenarai hitam atau dihalang daripada memasuki Sarawak, termasuk menilai semula asas, tempoh dan keperluan sekatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian 29 September, Meenakshi yang menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur tiba di Lapangan Terbang Miri kira-kira pukul 4.50 petang sebelum dihentikan pegawai Jabatan Imigresen dan tidak dibenarkan memasuki Sarawak.
Menurut SAM, kad pengenalan Meenakshi diambil dan beliau ditanya sama ada terlibat dalam sebarang kes sebelum dimaklumkan kira-kira 15 minit kemudian bahawa satu laporan telah dibuat terhadapnya pada 21 Mei 2025.
SAM dalam kenyataan berkata Meenakshi tidak pernah menerima surat, notis, penjelasan atau petunjuk awal bahawa beliau dilarang memasuki Sarawak dan organisasi itu kemudian menuntut pihak berkuasa menjelaskan sebab, sifat, sumber serta asas sekatan berkenaan.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata tiada keperluan di sisi undang-undang untuk memberikan notis awal kepada individu yang dihalang memasuki negeri itu.
Beliau turut berkata kuasa menentukan siapa yang boleh atau tidak boleh memasuki Sarawak diperuntukkan di bawah undang-undang imigresen, manakala beliau difahamkan satu laporan polis telah dibuat terhadap Meenakshi pada Mei 2025, walaupun tidak mempunyai maklumat mengenai sifat laporan tersebut, lapor Borneo Post Online.
Dari sudut perundangan, Jabatan Imigresen menjelaskan bahawa Seksyen 66 Akta Imigresen 1959/63 memperuntukkan sekatan terhadap hak kemasukan warganegara ke Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada pengecualian tertentu.
Roland yang juga Timbalan Pengerusi Harapan Sarawak berkata persoalan yang perlu diberi perhatian ialah sama ada sekatan terhadap seseorang individu masih relevan selepas tempoh tertentu khususnya apabila tiada penjelasan awam mengenai asas atau tempoh larangan berkenaan.
“Jika seseorang individu telah lama disenarai hitam, apakah sebab sekatan tersebut masih relevan?
“Jika keadaan telah berubah, mengapa sekatan itu tidak dikaji semula?” soalnya.
Menurut beliau sekiranya terdapat alasan keselamatan atau undang-undang yang kukuh, masyarakat wajar diyakinkan bahawa setiap keputusan dibuat berdasarkan alasan yang sah dan berkadar.
Roland turut mempertikaikan keperluan menghalang Presiden SAM daripada memasuki Sarawak memandangkan organisasi berkenaan mempunyai rekod menjalankan kerja berkaitan alam sekitar, masyarakat pribumi, pertanian lestari dan hak komuniti.
Katanya, SAM mempunyai pejabat di Marudi, Baram dan menjalankan program termasuk latihan agroekologi, penghasilan anak pokok, pertanian lestari serta sokongan kepada usaha komuniti.
“Apakah ancaman yang dibawa oleh Presiden SAM kepada Sarawak?” soalnya.
Sebagai individu yang mengikuti perkembangan masyarakat di kawasan Parlimen Baram, Roland berkata beliau melihat sebahagian kerja SAM di lapangan sebagai memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Antara bidang yang disentuhnya termasuk peningkatan kesedaran mengenai hak asasi dan hak komuniti, hak pengguna, kepentingan masyarakat pribumi, pertanian lestari dan agroekologi, penggunaan tanah secara mampan serta pemeliharaan alam sekitar.
Beliau berkata usaha masyarakat sivil yang memperkasa rakyat tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai beban atau ancaman kepada kerajaan.
Sebaliknya kata beliau organisasi masyarakat sivil boleh membantu melengkapi usaha kerajaan dalam meningkatkan pengetahuan, keupayaan dan daya tahan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Isu larangan kemasukan Meenakshi turut mencetuskan reaksi daripada beberapa kumpulan masyarakat sivil lain.
Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama) turut mempersoalkan penggunaan kuasa imigresen Sarawak dan menggesa kerajaan negeri menarik balik sekatan itu serta menetapkan garis panduan yang jelas dan telus berhubung larangan kemasukan terhadap warganegara Malaysia.
Aktivis hak asasi Sarawak, Peter John Jaban turut menggesa pihak imigresen negeri menjelaskan alasan dan prosedur operasi standard yang digunakan dalam keputusan menghalang Meenakshi dengan alasan kekurangan penjelasan boleh menimbulkan persoalan terhadap ketelusan pentadbiran negeri.
Dalam hal ini, Roland berkata Kerajaan Sarawak tidak diminta mengetepikan kuasa imigresennya, sebaliknya menggunakan kuasa tersebut dengan pendekatan yang mengutamakan semakan berkala, keadilan dan kepentingan awam.
Beliau turut berpandangan sekatan terhadap Meenakshi wajar dipertimbangkan semula bagi membolehkan beliau memasuki Sarawak untuk menjalankan kerja yang sah dan berkepentingan awam.
“Sarawak tidak perlu takut kepada kesedaran rakyat," ujar Roland.
Sebaliknya jelas beliau rakyat yang mempunyai kesedaran tentang hak mereka, bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan mampu mengurus tanah serta sumber secara mampan adalah aset kepada masa depan Sarawak.
“Tiba masanya kita mengkaji semula, bukan sahaja senarai hitam tetapi juga pendekatan kita terhadap masyarakat sivil yang bekerja untuk rakyat dan alam sekitar.
"Fokus utama sepatutnya diberikan kepada usaha membendung kemasukan pendatang tanpa izin ke Sarawak," katanya.




Comments