top of page

Pasca SCO: PM diiktiraf dunia, semua negeri perlu berperanan kukuhkan ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Pencapaian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengiktirafan antarabangsa di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025 di China baru baru ini dilihat membuka peluang besar untuk Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai pemain penting dalam dunia multipolar, terutama sebagai pemimpin blok Asia Tenggara.


Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse (gambar)  berkata, kejayaan itu tidak hanya bergantung kepada kerajaan pusat semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan aktif semua negeri, sama ada negeri Perpaduan, negeri SG4, Sabah atau Sarawak dalam menyokong agenda pembangunan negara.


"Malaysia bukan negara besar. Jadi kita kena bijak berkawan dengan semua pihak. Hubungan dengan China penting kerana ia rakan dagang utama selama 14 tahun berturut-turut.


"Amerika juga kekal rakan strategik terutama dalam industri semikonduktor, di mana Malaysia kini pengeksport keenam terbesar dunia.


"Malaysia mesti terus berunding dengan Amerika Syarikat dalam isu tarif, pada masa sama meneroka pasaran baharu di BRICS, GCC dan Afrika.


"Dalam konteks ini semua negeri, sama ada negeri Perpaduan, negeri SG4, Sabah atau Sarawak perlu memainkan peranan untuk memperkukuhkan ekonomi Malaysia," kata Jimmy Puah kepada Suara Keadilan.


Tambah beliau tahun depan yang merupakan Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka membuka peluang bukan sahaja dalam sektor pelancongan, tetapi juga menarik pelaburan baharu dan negeri-negeri disaran mengambil inisiatif proaktif agar manfaat ekonomi dapat dirasai bersama.


Pencapaian ini menunjukkan ketokohan Malaysia di arena antarabangsa dan membuka lebih banyak ruang perniagaan serta diplomasi yang perlu dimanfaatkan di semua peringkat – nasional mahupun negeri.


Ujarnya lanjut, Malaysia ketika ini diperhatikan dunia susulan keberanian mengambil beberapa langkah kritikal selain berperanan sebagai pendamai konflik Thailand–Kemboja ketika menjawat kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN.


"Itulah sebabnya pada masa yang sama kita berunding dengan Amerika mengenai isu tarif, dan dalam masa sama kita juga terima jemputan daripada BRICS atau SCO untuk melanjutkan perbincangan bagi mengeratkan lagi hubungan ekonomi dengan mereka.


"Kita ada tanggungjawab kerajaan Madani untuk menjaga semua rakyat tanpa mengira negeri.


"Kerjasama dengan kementerian dan agensi pusat seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) penting bagi memastikan setiap negeri dapat mengenal pasti kekuatan serta membangunkan potensi masing-masing.


"Contohnya, Sarawak boleh dijadikan pusat pelaburan tenaga hijau, Johor dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Kedah melalui kejayaan Kulim Business Park, Perak dengan sumber nadir bumi, dan untuk kawasan SG4 seperti di Rantau Panjang, kita sedang meneroka juga sama ada ECRL akan sampai ke sana," ujarnya lanjut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page