Pasca PRN Sabah: Sokongan merosot, bentuk pasukan khas segera
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional semalam bagi membincangkan perkembangan politik semasa termasuk pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pentadbiran Kerajaan Madani dan pengurusan parti serta Pakatan Harapan (PH).
Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad (gambar), isu penurunan sokongan pengundi Cina terhadap calon Pakatan Harapan dalam PRN Sabah baru-baru ini turut menjadi perhatian utama parti.
"AMANAH berpandangan penurunan sokongan pengundi Cina dalam PRN Sabah di kerusi-kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan baru-baru ini adalah masalah dan tanggungjawab bersama semua parti anggota Pakatan Harapan (untuk menanganinya)."
Sehubungan itu, AMANAH mencadangkan agar satu pasukan khas dibentuk segera.
"AMANAH mencadangkan supaya satu Task Force dibentuk oleh Pakatan Harapan untuk menganalisa punca-punca kemerosotan undi tersebut dan mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil oleh Pakatan Harapan untuk menanganinya," kata beliau.
Bagaimanapun, kata Khalid, AMANAH mengakui kejayaan Kerajaan Madani dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif rakyat, namun berpendapat maklumat mengenai usaha tersebut belum sampai secara berkesan kepada masyarakat.
"AMANAH memperakui dan menghargai kejayaan Kerajaan Madani melaksanakan begitu banyak inisiatif-inisiatif untuk rakyat. Akan tetapi, pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini dilihat masih gagal mendapatkan sokongan rakyat terhadap kerajaan atas sebab-sebab tertentu."
Sehubungan itu, mesyuarat menyarankan agar kerajaan mempertingkat komunikasi strategik, bukan sahaja melalui agensi kerajaan tetapi juga melibatkan NGO dan jentera penerangan parti gabungan.
"Semua entiti komunikasi Pakatan Harapan perlu diperkasakan dan diselaraskan di bawah satu badan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan," ujarnya.
AMANAH juga menekankan pentingnya proses ‘engagement’ bersama masyarakat dan parti politik agar setiap dasar kerajaan berasaskan kehendak rakyat.
"Kerajaan perlu perbanyakkan 'engagement' atau libat urus dengan parti-parti politik dan wakil-wakil masyarakat dalam proses menggubal inisiatif dan polisi kerajaan sebelum ianya dilaksanakan.
"Proses libat urus ini dapat membantu kerajaan untuk memahami kehendak rakyat dalam sesuatu persoalan dan mengelak kesan yang tidak diingini terhasil dengan dilaksanakan sesuatu inisiatif.
Pada masa yang sama, libat urus ini juga memberi peluang kepada rakyat untuk memahami hasrat dan matlamat kerajaan dalam menggubal inisiatif berkenaan," kata Khalid lagi.





