Pasca PRN Sabah: KEADILAN perlu kukuhkan imej sebagai parti nasional
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu mencatatkan satu pola penting apabila pengundi menampilkan kecenderungan jelas terhadap parti tempatan berbanding parti nasional.
Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim, keputusan PRN itu memberi isyarat jelas terhadap perubahan dinamik politik negeri, dengan faktor lokal semakin mendominasi pertimbangan pengundi.
"Keputusan PRN Sabah sedikit di luar jangkaan terutama sekali respons pengundi terhadap parti-parti yang bersifat nasional, contohnya seperti KEADILAN, DAP dan sebagainya
"Keputusan bagi parti nasional antara yang paling rendah. Kita sendiri sebagai Pakatan Harapan (PH) hanya dapat satu kerusi berbanding sebelum ini lebih banyak kerusi (dimenangi).
"Kerjasama dengan GRS yang kita jalankan sebelum ini dan (menggunakan) strategi sama yang dibuat dengan BN yang merupakan strategi terbesar kita laksanakan sepanjang PRN hari itu, namun tidak dapat diterjemahkan kepada sokongan seperti yang diharapkan.
"Tapi dalam masa sama, saya nampak ia berbalik kepada pengukuhan idea perpaduan di peringkat nasional. GRS masih lagi berupaya menjadi tonggak untuk kerajaan negeri dan semestinya beberapa parti komponen yang lain dan parti daripada PH yang diserap masuk. Sekurang-kurangnya itu adalah satu jaminan kepada kestabilan politik yang kita nak capai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam podcast Kerusi Biru, PRN Sabah: Apa Langkah Seterusnya? yang disiarkan di platform Youtube KEADILAN malam tadi.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menyifatkan PRN kali ini kurang bersifat sensasi meskipun pergelutan politik berlangsung sengit, dengan bentuk persaingan ebih terkawal dan matang berbanding sebelum ini.
Katanya, berdasarkan pengalaman PRN sebelum ini, suasana ketika itu jauh lebih ‘panas’ dan kompleks, namun kali ini proses pilihanraya dilihat lebih teratur.
Beliau berpandangan, perubahan itu berpunca daripada sikap parti-parti politik yang lebih berhati-hati, dengan kesedaran bahawa mereka berdepan risiko jika gagal mengawal tingkah laku sepanjang tempoh kempen, seperti tidak boleh bersikap ego, takut atau sombong.
"PRN kali ini tidak seperti pengalaman-pengalaman lalu. Kali ini kempen agak berbeza, tiada insiden yang bukan-bukan berbanding sebelum ini kalau kita tengok ada sahaja berita yang bukan-bukan, tapi kali ini sangat matang.
"Saya nampak secara keseluruhannya ini adalah satu bukti bahawa kita perlu betul-betul meneliti dan memahami bagaimana politik dan dinamiknya bergerak.
"Kita sebagai parti KEADILAN (iaitu) parti nasional bukan parti Malaya atau Semenanjung kena perkukuhkan identiti parti nasional itu sendiri.
"Kena ingat balik bagaimana KEADILAN ditubuhkan serentak di seluruh negara bukannya ditubuhkan di Kuala Lumpur dan buka cawangan di Sabah," ujar beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN.









Comments