Pas tidak perjuang MA63 waktu dalam Kerajaan Persekutuan - KEADILAN Sabah
- Akmal Manaf

- 5 hours ago
- 3 min read

Pas Sabah diminta berhenti bermain retorik mengenai hak negeri, sebaliknya perlu tampil dengan rekod jelas tindakan yang pernah dilakukan ketika mempunyai kuasa dalam kerajaan, kata Guntur Sangkar (gambar).
Ketua Komunikasi KEADILAN Sabah itu berkata, isu politik prestasi yang dibangkitkan Pas Sabah perlu dinilai berdasarkan keseluruhan rekod, termasuk ketika parti berkenaan menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (2020 - 2022).
Beliau berkata, persoalan utama yang perlu dijawab Pas Sabah ialah pendirian dan tindakan parti itu ketika isu hak 40 peratus Sabah dibincangkan sewaktu berada dalam kerajaan, berbanding keadaan hari ini apabila mereka kembali mengangkat isu tersebut sebagai bahan kritikan politik.
Katanya, rekod rasmi Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan kadar Pemberian Khas Sabah kekal sekitar RM26.7 juta setahun sejak 1973 sebelum semakan berikutnya.
"Lebih penting, pada era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin (Kerajaan PN) di mana Pas (berada) dalam pentadbiran ketika itu, pendirian Kerajaan Persekutuan yang dinyatakan di Parlimen pada 2021 ialah formula Perkara 112C dianggap tidak lagi terpakai selepas semakan di bawah Perkara 112D, malah cadangan berasaskan 40% dikaitkan dengan kekangan fiskal kerajaan.
"Jadi apabila Pas hari ini tampil sebagai jaguh hak 40% Sabah, rakyat berhak bertanya mengapa pendirian sebegitu tidak dilawan habis-habisan ketika Pas sendiri berada dalam kerajaan?
"Selepas pertukaran kerajaan (Kerajaan Perpaduan), barulah angka dan tindakan mula berpihak kepada rakyat Sabah. Pada 2022, Pemberian Khas Sabah disemak kepada RM125.6 juta. Di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimana pula?
"Ianya meningkat kepada RM300 juta pada 2023, RM600 juta pada 2025, dan kini RM1.5 bilion pada 2026," katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, ujar Guntur, Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak juga menyatakan bahawa sembilan daripada 13 tuntutan MA63 yang telah dimuktamadkan dan diselesaikan di bawah Kerajaan MADANI.
"Kerajaan MADANI bukan sekadar bercakap mengenai hak Sabah. Tapi dizahirkan melalui jumlah pembayaran yang meningkat secara substantif.
"Itulah politik prestasi. Bukan politik retorik. Jangan hari ini bercakap lantang mengenai hak 40 peratus Sabah, tetapi melupakan apa pendirian Kerajaan Persekutuan ketika Pas sendiri berada di Putrajaya.
"Kerajaan MADANI masih ada kerja yang belum selesai. Kerajaan GRS juga sedang berhempas pulas menyelesaikan isu rakyat," ujarnya lagi.
Manakala mengulas masalah bekalan air, elektrik, jalan raya dan internet di Sabah masih belum selesai sepenuhnya, kata Guntur, prestasi kerajaan perlulah dinilai berdasarkan usaha, pelaburan dan projek yang dilaksanakan bagi menanganinya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut menegaskan politik berasaskan prestasi perlu melihat sama ada kerajaan sedang meningkatkan pelaburan bagi menyelesaikan masalah yang diwarisi sejak sekian lama.
"Belanjawan 2025 sahaja memperuntukkan RM6.7 bilion pembangunan Persekutuan kepada Sabah, selain pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B dan projek Sabah-Sarawak Link Road," katanya.
Di peringkat negeri pula, Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut memperuntukkan perbelanjaan khusus bagi pemulihan bekalan air, operasi loji rawatan, penyelenggaraan jalan, jambatan dan cerun serta kemudahan awam.
"Jadi, kita tidak mengatakan Sabah sudah sempurna. Kita mengatakan masalah yang diwarisi selama puluhan tahun sedang ditangani melalui peruntukan, projek, penurunan kuasa dan kerjasama Persekutuan–Negeri. Bukan adegan lakonan tunding jari salahkan orang lain," katanya.
Guntur mengkritik Pas Sabah yang menjadikan isu bekalan air sebagai ukuran prestasi kerajaan.
Menurutnya, ukuran sama wajar digunakan terhadap negeri-negeri yang ditadbir Pas, khususnya Kelantan, Kedah dan Terengganu.
"Pas Sabah turut menggunakan isu air sebagai ukuran prestasi Kerajaan. Bah, mari kita gunakan ukuran yang sama terhadap negeri yang mereka tadbir."
Berdasarkan data 2023, kadar Non-Revenue Water (NRW) Sabah ialah 54.5 peratus, manakala Kelantan mencatat 50.7 peratus, Kedah 40.1 peratus dan Terengganu 34.6 peratus, menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut berkata, data pada Jun 2026 masih menunjukkan Kelantan dan Kedah antara negeri dengan kadar NRW tertinggi negara, masing-masing sekitar 53 peratus dan 51.1 peratus.
Guntur turut membangkitkan bantuan Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan bagi menangani isu kehilangan air, termasuk peruntukan RM69.18 juta menerusi Program NRW Kebangsaan.
"Kerajaan Persekutuan juga yang menyediakan RM69.18 juta geran di bawah Program NRW Kebangsaan untuk membantu Kelantan mengurangkan kehilangan air.
"Saya ulang, YAB PMX yang tolong Kelantan. Tapi beliau jugalah dimaki hari-hari oleh penyokong Pas," katanya.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu turut mencadangkan prestasi Kerajaan GRS Sabah dibandingkan dengan negeri-negeri utama dalam kelompok SG4, bukannya sekadar menggunakan slogan politik.
Menurutnya, Sabah berdepan cabaran pembangunan besar tetapi berjaya mengekalkan hasil negeri pada paras melebihi RM6 bilion, dengan hasil sebenar 2024 sebanyak RM6.842 bilion dan anggaran disemak 2025 sebanyak RM6.658 bilion.
Dalam aspek ekonomi pula, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2025 menunjukkan KDNK per kapita Sabah sekitar RM31,125, berbanding Kedah RM28,537 dan Kelantan RM18,085, manakala Terengganu mencatat RM32,657.
"Angka ini bukan bermaksud Sabah tiada kelemahan. Sebaliknya ia menunjukkan bahawa slogan ‘SG4’ semata-mata bukan bukti automatik bahawa model pentadbiran Pas lebih berjaya," katanya.
Tegas Guntur, perbandingan prestasi kerajaan sepatutnya dibuat berdasarkan hasil negeri, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan, bekalan air, jalan raya, pendidikan, kebajikan serta keupayaan kerajaan bekerjasama mendapatkan manfaat untuk rakyat.
"Kalau mahu politik prestasi, ukur hasil negeri, pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pelaburan, air, jalan, pendidikan, kebajikan dan keupayaan kerajaan bekerjasama mendapatkan manfaat untuk rakyat," katanya lagi.




Comments