top of page

Pas dicabar kemuka bukti PH mahu hapus hak Melayu, Islam

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
Aug 9
1 min read

Parti Pas dicabar mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan bahawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) berhasrat menghapuskan hak Melayu serta Islam, seterusnya mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang.


Ketua Wanita PH Datuk Aiman Athirah Sabu (gambar) berkata, negara mempunyai Perlembagaan Persekutuan, sistem kehakiman dan institusi penguatkuasaan yang boleh digunakan sekiranya wujud bukti sesuatu parti melakukan perkara bertentangan dengan undang-undang.


Justeru tanpa bukti, dakwaan serius seperti itu tidak wajar sekadar diulang sebagai retorik politik yang membakar emosi dan menakutkan rakyat.


"Jika benar terdapat bukti DAP dan PH mempunyai agenda untuk menghapuskan Melayu dan Islam, mengancam kedudukan Islam dalam Perlembagaan atau menjalankan usaha menentang asas negara ini, bawalah bukti terbabit ke mahkamah dan saluran undang-undang yang sah.


"Mengapa tidak dibawa bukti DAP melanggar Perlembagaan dan mengapa tidak menggunakan institusi negara untuk membuktikan dakwaan terbabit?" katanya menerusi kenyataan di media sosial.


Menerusi hantaran sama beliau turut mempersoalkan, sekiranya PH mahu menghapuskan hak Melayu dan Islam, mengapa Pas tidak mengambil tindakan sedemikian ketika pernah menguasai pentadbiran dalam Kerajaan Persekutuan pada 2020 dan 2022 lalu.


Malah Pas sendiri tegasnya, pernah bekerjasama dengan DAP menerusi Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.


"Jangan hanya mengulang retorik bersifat dakwaan dalam ceramah, kuliah, kenyataan media atau tulisan politik yang membakar emosi, khususnya pengikut dan rakyat yang termakan propaganda sebegini," tambah Aiman Athira.


Menurutnya, mempertahankan Melayu dan Islam tidak memerlukan fitnah atau kebencian terhadap kaum lain, manakala perbezaan politik bukan alasan untuk menghukum niat, iman dan kesetiaan seseorang tanpa bukti.


"Kebenaran dalam Islam ditegakkan dengan ilmu, hujah, keadilan dan akhlak, bukan dengan penghukuman terburu-buru atau membina permusuhan atas nama agama," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page