Pas Bergolak, Himpunan Turun Anwar Tidak Islamik
- Suara Keadilan

- Jul 24
- 2 min read

Oleh: Ustaz Zaidi Tohirin dan Shahbudin Embun
ULASAN: Dalam keghairahan Pas dan sekutunya untuk menarik seramai mungkin rakyat dan penyokong menghadiri himpunan Turun Anwar di ibukota pada hujung minggu ini, tiba-tiba bangun seorang ulamak yang sangat dihormati oleh pencinta ilmu se-Nusantara, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, Pengerusi Muafakat Pondok Se-Malaysia bagi Negeri Kelantan memberi sokongan terbuka kepada kepimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri Datuk seri Anwar Ibrahim.
Beliau sebagai tokoh ulama dalam Pas memberi tamparan hebat kepada parti Islam itu dengan menganggap demonstrasi menurunkan PM Anwar adalah tidak Islamik, yang mana semua Khalifah Islam kekal mentadbir sehingga hari kewafatan mereka.

Beliau malah mencadangkan agar sesebuah kerajaan harus diberi peluang memerintah sehingga 10 tahun untuk rakyat mendapat istifadah (manfaat) dari pemerintah yang sedang berusaha memulih dan memacu ekonomi negara. Tamparan pedih ini sangat dirasai oleh penyokong-penyokong tegar Pas sehingga Timbalan Presiden Pas, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menenangkan penyokongnya dengan memperkecil dan menganggap bahawa kenyataan Syeikh Wazir hanyalah pandangan peribadi.
Pandangan Wazir tepat mengikut fiqh
Kami dari Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) melihatnya pada sisi berlainan. Sekalipun itu pandangan peribadi namun ia disuarakan oleh tuan guru yang faqeh dan mengutamakan maslahah dari mafsadah (kerosakan), pasti memberi implikasi yang sangat mendalam kerana pandangan tersebut diolah dari sumber-sumber asas (fiqh) yang kukuh dalam agama.
Kenyataan seorang yang faqeh pasti tidak sama dengan pandangan orang yang tidak didasari dengan ilmu. Seorang faqeh bila berdepan dengan situasi kedua-duanya adalah mudarat, di sana ada kaedah untuk dipertimbangkan sebagaimana Imam Ibnu Nujaim berkata;
اذا تعارض مفسدتان روعي اعظمها ضررا بارتكاب اخفهما
“Apabila bertembungnya dua mafsadah, maka dipelihara ( ditolak ) mudarat yang lebih besar dengan melakukan mudarat yang lebih kecil“
Kerosakan lebih besar bila berdemonstrasi
Dalam isu kempen Turun Anwar, sudah pasti mafsadah yang lebih besar akan ditanggung oleh rakyat dan negara sekiranya diterima. Negara akan berada dalam situasi politik yang tidak stabil, perpecahan dalam kalangan umat Islam semakin parah, para pelabur akan terancam dan pelbagai projek yang sedang diusahakan oleh kerajaan akan terbengkalai.

Sekalipun demontrasi itu dibenarkan dalam demokrasi namun konsep ketaatan dan kepatuhan kepada pemerintah Muslim adalah suatu kewajipan manakala sikap penentangan dan mahu menjatuhkan pemerintah Islam adalah suatu kesalahan, malah termasuk dalam kategori Pemberontakan yang diharamkan dalam Islam.
Dalam situasi yang tidak harmoni ini sepatutnya semua warga merujuk dan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah dan dapatkan pandangan dari ulama yang berkecuali dan tidak berkepentingan.
Justeru itu, kami dari Sekpur mewakili Sekretariat Bela Pertiwi menyokong penuh kenyataan Syeikh Wazir Al-Makki untuk terus mengekal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menolak gesaan Turun Anwar yang tidak Islamik.
Tulisan ini pandangan dari Biro Agama dan Pengerusi Biro Politik Sekpur









Comments