Kenyataan Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas, Dr Najihatussalehah Ahmad baru-baru ini yang cuba menyalahkan rakyat kerana gagal membantu Kerajaan Perikatan Nasional dalam menangani wabak Covid 19 adalah tidak bertanggungjawab.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Dr Zaliha Mustafa, kenyataan Najihatussalehah itu seolah-olah memperkecilkan pengorbanan rakyat yang selama ini mematuhi setiap peraturan yang dikenakan kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga 3.0 bagi melandaikan keluk jangkitan Covid 19, biar pun tidak menunjukkan sebarang hasil.
"PKP 1.0 - 3.0 menyaksikan rakyat mematuhi setiap peraturan yang dikenakan walaupun mereka resah dengan peraturan yang tidak menentu dan sering berubah-ubah.
"Hampir dua tahun tidak bersemuka dengan yang tersayang, premis ditutup kerana dikategorikan perniagaan yang tidak essensial, berdepan masalah penjagaan anak-anak kerana pusat penjagaan dan sekolah ditutup, sehingga ada yang sanggup menjadi gelandangan kerana tidak mampu lagi menampung sewa rumah dan macam-macam lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Dr Zaliha, sebelum menyalahkan rakyat pemimpin Pas yang berada dalam kerajaan PN perlu bermuhasabah. Adakah semua keputusan dan dasar yang menyebabkan jangkitan Covid 19 berleluasa itu dibuat oleh rakyat atau pun kerajaan?
"Keputusan rakyatkah apabila Pilihanraya Negeri Sabah diadakan? Keputusan rakyatkah apabila kilang-kilang masih beroperasi walaupun PKPD diumumkan dan dilaksanakan? Keputusan rakyatkah apabila pembelian vaksin terlalu banyak protokol?
"Keputusan rakyatkah bila negara masih lembab dalam pemberian vaksin kepada penerima?
"Trending #kerajaangagal itu adalah luahan hati rakyat yang telah satu tahun tujuh bulan berhadapan dengan pelbagai masalah kehidupan serta berdepan dengan ekosistem kehidupan bercelaru. Mereka hilang punca pendapatan, hilang pekerjaan dan mata pencarian, hingga terpaksa meminta ehsan dan pertolongan orang lain dengan mengangkat bendera putih, seperti yang semua maklum," ujar Zaliha.
Menurut Pengerusi Biro Dasar, Strategi dan Latihan, Majlis Pimpinan Wanita Pusat itu lagi, rentetan dari dasar kerajaan yang separuh masak hari ini rakyat dibebani hutang bertimbun tambah, manakala banyak perniagaan dan perusahaan terpaksa gulung tikar.
"Ini bukan cakap kosong tapi penemuan dari pelbagai kajian termasuk kajian oleh Institut Penyelidikan dan pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaya Kelantan (UMK), mendapati hampir semua responden yang bekerja sendiri hilang punca pendapatan.
"Mereka menyatakan wang simpanan pula susut sebanyak 65%, peningkatan kos utiliti pula sebanyak 37.3% dan peningkatan hutang sebanyak 27.2% (Berita Harian Online 22hb Mei 2021).
"Tahukah pemimpin Pas kesihatan mental rakyat semakin parah? Hari-hari kita dihidangkan berita kejadian membunuh diri. Talian psikososial kerajaan dan NGO menerima ratusan ribu panggilan dan ia bukan panggilan palsu tetapi meminta tolong, luahan perasaan, kesengsaraan mental dan emosi, panggilan akibat didera pasangan dan pelbagai lagi
"Lebih parah apabila kerajaan yang sama-sama diterajui Pas ini memperlekehkan sistem demokrasi dan Raja Berpelembagaan yang menjadi pegangan kita rakyat Malaysia.
"Membiarkan Dewan tidak bersidang lebih dari enam bulan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mereka menolak untuk berbincang dan berbahas tentang masalah rakyat dan negara di Parlimen dengan pelbagai alasan dan ironinya sehingga mengenakan Ordinan Darurat untuk membenarkan tindakan menggantung Parlimen dan rakyat masih bersabar," katanya.
Sehubungan itu, Dr Zaliha berharap pemimpin Pas turun padang untuk menyaksikan sendiri penderitaan rakyat dan jangan bercakap seperti orang yang duduk di atas kahyangan.
"Sebagai orang yang dikelilingi para ulama, hadis dan al Quran sentiasa meniti dibibir, lihatlah kembali sejarah Rasul dan para sahabat. Telaah kembali bagaimana Umar Abdul Aziz turun ke bawah mencari rakyat yang susah, merasa tersangat bersalah apabila ada rakyatnya tidak makan dan memikul sendiri gandum dari gudang kerajaan untuk diberikan kepada keluarga miskin
"Anologinya seperti orang yang sakit, mengakulah bila kita tidak sihat dan ambil ubat untuk mengubatinya, barulah betul. Jangan terus berada dalam “denial syndrome” dan membiarkan diri terus musnah. Dan lebih dahsyat apabila sikap itu juga memusnahkan
orang lain," katanya lagi
Comments