top of page

Parti baharu Rafizi untungkan PN, AMK perlu lebih agresif - Nabil

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • May 20
  • 2 min read

Tindakan mantan Presiden KEADILAN Datuk Seri Rafizi Ramli menubuhkan parti baharu menuntut KEADILAN lebih berwaspada terhadap setiap gerak langkah politik beliau.


Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nabil Halimi (gambar) berkata, walaupun parti ditubuhkan Rafizi masih kecil, sasaran politiknya ketika ini dilihat cuba merampas dan memecahkan teras sokongan KEADILAN khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan bukan Melayu.


"Langkahnya ini akhirnya akan menguntungkan Perikatan Nasional (PN) yang lebih jelas sebuah perikatan yang bermasalah, perkauman dan tidak jelas hala tujunya.


"Apa yang utama, Penerangan KEADILAN harus lebih agresif dan jelas memperlihatkan usaha Kerajaan MADANI dalam memulihkan ekonomi negara dan mereformasikan pentadbiran meskipun kita terpaksa berdepan cabaran membentuk kerajaan ini dengan UMNO-BN dan blok Borneo yang mempunyai ideologi dan pandangan yang banyak beza," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengambil alihan parti baharu oleh Rafizi yang diumumkan pada Ahad lalu.


Ditanya sama ada AMK perlu memberi tumpuan untuk menentang PN dan menarik sokongan generasi muda menggantikan peranan Rafizi dan gerakan sukarelawannya dalam dua siri pilihan raya umum lalu, Nabil berkata pihaknya kini sedang bersiap siaga menyusun strategi dan gerak kerja untuk menawan pengundi muda.


"Kami percaya kemantapan sebuah jentera itu adalah hasil kerja berpasukan bukan milik seorang individu. Itu sikap narsistik. TERAS (sistem pilihanraya KEADILAN) telah dilancarkan yang merupakan sistem pengurusan pilihanraya bersepadu yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI).


"InsyaAllah, data ini akan membantu kita dalam mobilisasi pasukan dan mengenal pasti sentimen rakyat.


"Enjin sudah ada, namun ia tidak akan berjaya tanpa kerja keras dan strategi tersusun daripada kita. Paling penting, sistem tersebut adalah milik parti," ujarnya lagi.


Pada 17 Mei lalu, Rafizi bersama mantan Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia, sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang.


Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju politik Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan selepas kedua-duanya dilihat tidak lagi sehaluan dengan kerajaan MADANI, khususnya KEADILAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Parti Bersama Malaysia didaftarkan pada Disember 2016 dengan matlamat menjadi kuasa ketiga selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan serta blok pembangkang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page