Kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Azmin Ali kelmarin kononnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah hilang keyakinan terhadap gabungan itu menyebabkan KEADILAN menggunakan logo sendiri menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ditempelak Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar.
Menurut Halimey, kenyataan Azmin itu 'mengejutkan' kerana sejak banjir besar di Selangor dan Pahang tahun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri tersebut menyepikan diri serta tidak ambil tahu hal sekeliling, namun tiba tiba beliau bersuara pula menyentuh PH yang tiada kena mengena dengan partinya, Bersatu atau pun PN.
"Setelah sekian lama menyepi, dikhabarkan hilang ketika detik awal bencana banjir melanda negara dan meneruskan kegagalan di Kementerian yang diterajuinya, secara tiba-tiba saudara Azmin muncul dengan mengeluarkan kenyataan melucukan bahawa Presiden KEADILAN merangkap Pengerusi PH mula hilang keyakinan terhadap gabungan pembangkang.
"Adalah lebih baik Azmin muhasabah diri menilai kebersamaan antara Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dengan PN diketuai Bersatu dan Pas.
"Pertembungan sesama sendiri yang tidak dapat dielakkan ketika PRN Melaku lalu sudah cukup menunjukkan betapa huru-haranya gabungan yang membentuk Kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Ismail Sabri ini.
"Bagaimana hendak dijelaskan kepada rakyat apabila golongan yang bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya boleh diberi mandat membentuk sebuah kerajaan yang stabil?" tanya Halimey.
Menurut beliau, Bersatu ibarat terhoyong hayang menghadapi PRN Johor kali ini dengan pemimpinnya meninggalkan parti dan lebih memerlukan perhatian Azmin berbanding PH yang stabil.
Kata ADUN Seri Setia itu lagi, pemimpin Bersatu Johor yang sebenarnya telah hilang kepercayaan terhadap presiden Mahiaddin Yassin, bukannya pemimpin PH terhadap gabungan mereka.
Katanya, ugutan yang dikeluarkan Mahiaddin untuk ‘menekan butang’ menarik sokongan PN terhadap BN di Johor sebelum ini jelas menggambarkan betapa parahnya gabungan kerajaan dan perlu dipertimbangkan rakyat sebelum membuang undi pada PRN Februari depan.
"Kenyataan bekas ADUN Bersatu Johor yang meninggalkan parti itu pula jelas menyebut Bersatu telah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya. Ia menunjukkan Bersatu telah sampai ajal untuk dikuburkan rakyat.
"Secara terang-terangan dua ADUN itu juga menggesa rakyat Johor menolak Bersatu. Manakala reaksi Azmin menyifatkan tindakan dua ADUN berkenaan bukan perkara luar biasa khususnya menjelang pilihan raya menunjukkan beliau telah terbiasa dengan amalan mengkhianati amanah rakyat seperti Langkah Sheraton," katanya.
Sebaliknya, menurut Halimey lagi, keputusan KEADILAN menggunakan logo sendiri tidak menjejaskan kesatuan PH dan diterima baik oleh para penyokong akar umbi dan juga PH.
"KEADILAN Selangor menganggap keputusan parti menggunakan logo sendiri dalam PRN Johor telah diputuskan secara teliti oleh Majlis Pimpinan PH dan tiada apa yang perlu diragui.
"Hal yang penting ketika ini adalah meneruskan gerak kerja menyantuni rakyat demi memastikan agenda pencerahan diteruskan demi memastikan rakyat Johor tidak terus dipijak penguasa zalim yang rela membelanjakan ratus juta ringgit untuk mengadakan pilihan raya berbanding menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir.
"KEADILAN Selangor juga ingin berpesan kepada Azmin agar berhenti berkelakuan seperti manusia gila talak dan meroyan tidak tentu hala," katanya.
Tambah Halimey, perpecahan dalam kalangan bekas anggota KEADILAN yang mengkhianati amanah rakyat dalam Bersatu tidak lagi boleh disembunyikan selepas penubuhan Parti Bangsa Malaysia.
Oleh itu, beliau menasihatkan Azmin untuk jangan sibuk 'menjaga tepi kain orang lain' tetapi kain sendiri sudah koyak rabak.
コメント