Papan iklan calon PH DUN Tiram diconteng, Nor Zulaila kecam vandalisme
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Beberapa papan iklan kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Tiram, Nor Zulaila Abd Ghani, menjadi sasaran vandalisme apabila diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab, dalam kejadian yang disifatkan sebagai tidak beretika dan mencemarkan amalan demokrasi.
Dalam satu kenyataan, Nor Zulaila berkata dua papan iklan kempen miliknya didapati diconteng pada bahagian wajah dengan huruf "S" bersaiz besar.
Menurut beliau, papan iklan yang menjadi sasaran itu terletak di hadapan pasar raya Lotus di jalan utama serta di hadapan stesen minyak PETRONAS, Jalan Nenas Utama.
Beliau berkata, walaupun terdapat pihak yang memilih untuk merosakkan bahan kempen melalui perbuatan vandalisme, masih ramai rakyat yang terus mempertahankan nilai kesopanan dan saling menghormati.
"Saya ingin mengingatkan pasukan kempen, dan mengingatkan diri saya sendiri, bahawa politik yang matang harus dibina atas asas idea, dasar serta khidmat kepada rakyat, bukannya kebencian dan perbuatan merosakkan," katanya.
Nor Zulaila turut menegaskan bahawa kempen pilihanraya seharusnya berlangsung dalam suasana beradab tanpa dicemari tindakan provokasi atau vandalisme.
"Apabila mereka bertindak dengan kebencian, kita membalas dengan maruah dan adab (When they go low, we go high).
"Saya percaya rakyat mengharapkan budaya politik yang beradab, berintegriti dan penuh hormat, bukannya kempen yang dipenuhi permusuhan dan vandalisme," katanya lagi.
Untuk rekod, Nor Zulaila merupakan calon dari DAP berbangsa Melayu. Kemenangan beliau - sekiranya berlaku - akan menambah kekuatan DAP dalam kalangan pengundi Melayu dan merupakan ancaman besar kepada parti lawan, terutama di Johor.




Comments