Panjangkan tempoh interim penguatkuasaan semula polisi insurans kesihatan
- Suara Keadilan
- Jun 10
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin hari ini menggesa syarikat-syarikat insurans utama agar melanjutkan tempoh interim penguatkuasaan semula polisi atau 'Reinstatement' kepada 60 hari lagi.
Beliau berkata, saranan lanjutan itu adalah bagi membolehkan orang ramai yang telah menamatkan insurans perubatan mereka, memohon pengaktifan semula.
Ujarnya, tempoh tersebut adalah waktu yang penting dan polisi yang telah lupus mungkin masih boleh dihidupkan semula tanpa kesan buruk kepada perlindungan sedia ada.
Namun katanya, tindakan perlu diambil sebelum tarikh tamat dan pihaknya juga ingin menyeru ejen-ejen insurans dan rakyat Malaysia untuk berkongsi maklumat penting itu kepada rakan-rakan dan ahli keluarga.
"Saya ingin mengingatkan orang ramai bahawa ‘Reinstatement’ di bawah langkah interim yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat insurans utama, iaitu tempoh untuk memudahkan pemulihan akan tamat pada 30 Jun ini.
"Jadi saya ingin menyeru mereka yang pernah menamatkan polisi mereka akibat tekanan kewangan atau kenaikan premium, supaya segera menghubungi syarikat insurans masing-masing untuk menyemak kes mereka tentang kemungkinan pemulihan polisi.
"Saya akan terus bersuara demi pembaharuan sistem insurans perubatan yang lebih adil, telus dan mampu milik. Rakyat perlukan perlindungan, bukan bebanan," tegas beliau menerusi satu kenyataan.
Sebelum ini, syarikat insurans telah menaikkan harga premium insurans perubatan antara 40 hingga 70 peratus mulai 2025, sedangkan kenaikan kos perubatan kasar hanya sekitar 15 peratus.
Hal itu menyebabkan campur tangan Bank Negara Malaysia dengan mengehadkan kenaikan premium tidak melebihi 10% secara interim.
Comments