
Kerajaan Perpaduan bertekad untuk meneruskan siasatan ke atas pendedahan Pandora Papers kerana melibatkan berbilion ringgit wang negara dipunggah keluar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Tambun) berkata isu pemunggahan wang tersebut telah beliau bangkitkan di Dewan Rakyat sejak 2010, namun tiada siasatan bersungguh sungguh mengenainya.
"PM waktu itu memberi pengakuan akan menubuhkan jawatankuasa yang melibatkan Pusat Pencegahan Jenayah Nasional, polis, SPRM Bank Negara, LHDN juga Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.
"Tetapi tindakan itu memerlukan tekad politik yang jelas. Tidak banyak suara termasuk Yang Berhormat yang memohon diambil tindakan serius
"Seolah olah ada keengganan bertindak kerana melibatkan tokoh besar negara," katanya dalam sesi soal jawab Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat sebelah pagi.
Bagaimanapun, kata Menteri Kewangan itu bukan semua yang menyimpan wang di luar negara menyalahi peraturan.
Terdapat peniaga di luar negara yang memerlukan simpanan secara shell account dan hal itu tidak salah.
Oleh sebab itu, katanya, beliau mengarahkan siastan dilakukan terutama ke atas tokoh politik yang diketahui tidak berniaga.
"Saya lihat di negara kita hal ini berlaku. Sebab itu arahan saya kepada badan ini teruskan siasatan. Saya mohon kepada rakan rakan jangan melindungi.
"Ini sebaik ada siasatan terus dipertikai niat. Kalau ada bukti (ke atas yang disasat) maka tindakan diambil, kalau tindakan diambil tanpa fakta itu boleh dikatakan motif politik.
"Tetapi kalau wang bilion di keluarkan namun dilindungi, itu akan menyebabkan porak peranda (negara)," katanya.
Anwar menyatakan terdapat lebih 3,000 nama dalam pendedahan Pandora Papers. Di Malaysia, katanya, siasatan akan ditumpukan kepada tokoh besar seperti bekas PM, Menteri Kewangan dan sebagainya yang dipercayai menyalahgunakan kuasa memunggah kekayaan.