Pandan parlimen angkat PM, MPN KEADILAN Selangor bantu urus pentadbiran
- Hasbul Ahmad

- 11 minutes ago
- 2 min read

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan cabaran pentadbiran dan pengurusan parti di kawasan Parlimen Pandan akan diperkukuhkan dengan pemantauan bersama antara pimpinan cabang, Kerajaan Negeri dan Pejabat Perdana Menteri.
Beliau berkata, susulan beberapa perkembangan semasa dalam parti, pengurusan dan pentadbiran di peringkat cabang akan disusun semula sementara waktu bagi memastikan gerak kerja KEADILAN terus berjalan lancar.
Menurut beliau, Parlimen Pandan akan terus mendapat perhatian Perdana Menteri dan kerajaan pusat bagi memastikan segala agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.
"Saya dah maklum kepada Perdana Menteri. Bukan sebab kita tak percaya, tetapi kerana tanggungjawab ini besar. Parlimen Pandan akan terus dipantau oleh Perdana Menteri sendiri bersama agensi dan jabatan berkaitan.
"Kita nak susun semula pengurusan pentadbiran parti dan beri ruang kepada cabang untuk meneruskan tugas dengan pemantauan daripada MPN Selangor.
"Dalam tempoh satu hingga tiga bulan ini kita mahu semua berjalan baik dan gerak kerja besar ini dapat diteruskan," kata Amirudin pada program Himpunan Setia KEADILAN P100 Pandan di Hotel Grand Barakah, Ampang malam tadi.

Amirudin turut memaklumkan bahawa perkara berkaitan pembangunan dan pentadbiran kawasan telah dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk melibatkan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), jabatan kerajaan dan agensi berkaitan.
Beliau turut memaklumkan bahawa bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz akan membantu memantau serta menyelaras beberapa perkara berkaitan pembangunan dan pentadbiran kawasan.
Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan anggota parti supaya terus mempertahankan semangat perjuangan KEADILAN meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk serangan dalaman dan luaran.
Katanya, KEADILAN dibina atas semangat reformasi dan perjuangan yang panjang sehingga mampu bertahan dalam pelbagai ujian politik.
"Ada sabotaj dalaman, ada serangan daripada luar, tetapi semangat perjuangan dan kefahaman terhadap idealisme KEADILAN menjadikan kita terus bertahan.
"Yang telah pergi kita ucapkan terima kasih, dan saya percaya masih ramai akan terus bersama perjuangan ini," katanya sambil menegaskan KEADILAN merupakan sebuah parti yang memikul amanah besar dalam kerajaan dan akan terus bergerak sebagai wadah perjuangan rakyat.
Terdahulu, lebih 500 anggota KEADILAN Cabang Ampang dan Pandan hadir ke himpunan tersebut yang diakhiri dengan ucapan ikrar setia KEADILAN.




Comments