top of page

Palestin: Anak muda perlu contohi PM, terus berjuang bebaskan Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Anak muda seharusnya teruja dengan perjuangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering kali membangkitkan isu Palestin dan kekejaman rejim Israel di persidangan antarabangsa, terbaharu di Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Qatar.


Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, solidariti anak muda hari ini tidak hanya terhad pada demonstrasi jalanan, sebaliknya boleh dimobilisasi melalui kempen membantu nasib rakyat Palestin di Gaza sebagaimana yang dilakukan PM melalui beberapa NGO yang turun ke lapangan.


Katanya, apabila semakin banyak sokongan dan bantuan antarabangsa kepada Palestin maka pengiktirafan ke atas kemerdekaan negara itu akan semakin hampir.


"Walaupun kita sedih dengan apa yang berlaku di Gaza (pengepungan Israel), saya menyimpan harapan. Satu demi satu negara di Eropah dan dunia mula berjanji untuk mengiktiraf kemerdekaan Palestin. Ini satu petanda baik.


"Kezaliman mungkin bukan dikalahkan dengan peluru dan senjata, tetapi dengan sokongan dunia yang semakin meningkat terhadap Palestin," katanya mengulas misi Sumud Nusantara atau kepulauan Melayu yang digerakkan aktivis kemanusiaan, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, dibantu PM Anwar.


Menurut beliau, tindakan langsung yang dilakukan kumpulan konvoi tersebut adalah susulan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyelesaikan konflik Gaza, dan ia tidak akan menyekat suara umat manusia sejagat yang menuntut keadilan seperti dilakukan konvoi Sumud Nusantara.


Beliau turut menegaskan bahawa anak muda mempunyai peranan penting kerana masa depan isu Palestin dan perjuangan menentang penindasan bergantung pada kesedaran generasi baharu.


"Kalau dulu anak muda sanggup ke medan perjuangan secara fizikal, hari ini mereka boleh bergerak melalui mobilisasi digital, kempen solidariti dan penyebaran maklumat.


"Peranan anak muda bukan hanya pada isu Palestin, tetapi juga menentang sebarang bentuk ketidakadilan di peringkat antarabangsa mahupun dalam negara kita sendiri," jelasnya.


Hassan menambah, semangat menentang penindasan sudah lama menjadi tradisi perjuangan generasi muda di seluruh dunia, termasuk di Afrika Selatan ketika menentang apartheid, dan kini dalam solidariti bersama Palestin.


"Harapan saya, anak muda terus konsisten melawan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan. Inilah tanggungjawab generasi baharu," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page