top of page

Pakej ransangan ekonomi Pemerkasa Plus hanya RM5b sepatutnya RM45 bilion - PH


Pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Plus berjumlah RM40 bilion yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dianggap tidak berupaya membantu sektor ekonomi dan rakyat yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) total 3.0.


Bagi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), pakej tersebut sewajarnya memperuntukkan RM45 bilion suntikan tunai dan bukannya serendah RM5 bilion sebagaimana yang diumumkan.


Menurut mereka, Kerajaan PN sepatutnya lebih berani berbelanja untuk memangkin pertumbuhan ekonomi dan mengeluarkan negara daripada kancah kemelesetan.


"Suntikan tunai RM5 bilion tidak memadai apabila PKP 3.0 dijangka mendatangkan kerugian RM2.4 bilion sehari, serupa PKP 1.0 dahulu.


"Kesan kerugian kepada ekonomi dijangka berjumlah RM60 bilion bagi PKP 3.0 ini.


"Suntikan terus RM45 bilion ke dalam ekonomi, berbanding RM5 bilion yang dilakukan kerajaan, akan benar-benar membantu mengurangkan kesan kerugian RM60 bilion tersebut," ujar kenyataan itu.


Menurut Majlis Presiden lagi, Perdana Menteri didapati meneruskan langkah ekonomi dan kebajikan ortodoks yang sama sebagaimana PKP 1.0 dengan memberi bantuan one-off yang tidak menyelesaikan banyak perkara.


Sedangkan, kata mereka, apa yang diperlukan adalah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan ekonomi. Bantuan kewangan perlu bukan sahaja bagi kelompok B40, tetapi juga M40 untuk memastikan golongan berkenaan tidak akhirnya tergolong ke dalam kelompok B40.


"Oleh itu PH mencadangkan agar kerajaan meningkatkan bantuan kebajikan bulanan ke paras RM1,000 termasuk bagi yang tidak bekerja, yang dijangka berjumlah RM7 bilion bagi 7 bulan ke depan sehingga lengkapnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menjelang 31 Disember 2021, yang diharap mampu mencapai imunisasi kelompok meliputi 80% penduduk


"Kerajaan juga perlu memberi pelanjutan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, tanpa melibatkan kelompok T20, sehingga PICK lengkap. Ini akan membantu 8 juta rakyat dan syarikat di Malaysia. Kos ini semestinya ditanggung industri perbankan yang telah merekodkan keuntungan selepas cukai yang sihat berjumlah hampir RM23 bilion bagi 2020, berbanding RM32.3 bilion pada 2019," kata mereka.


Manakala untuk meningkatkan peluang pekerjaan, kata kenyataan itu, kerajaan perlu memberi insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, melibatkan insentif gaji RM500 sebulan bagi pekerja warganegara dan insentif pengambilan kerja RM300 sebulan bagi majikan, yang dijangka mampu mewujudkan pekerjaan untuk 300,000 rakyat dan menelan belanja RM6.5 bilion setahun. Sekaligus mengurangkan pengangguran di kalangan belia pada kadar 13.4% setakat Mac 2021


"Bagi Kementerian Kesihatan pula dana suntikan RM3.5 bilion diperlukan bagi mempermudah PICK, meningkatkan usaha saringan, mengenal pasti kontak rapat, serta merawat kes positif Covid-19, meningkatkan kapasiti serta keupayaan hospital termasuk peralatan perubatan dan

sumber manusia bagi mengelak runtuhnya sistem kesihatan awam kita


"Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana pula diperlukan RM28 bilion dalam bentuk geran; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit PKS, pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang terjejas teruk. Industri pelancongan kehilangan RM100 bilion tahun lalu, dan tanpa ‘talian hayat’ sudah pasti industri ini akan menghadapi masa depan amat kelam," kata mereka.


Tegas Majlis Presiden, pakej bantuan awal bernilai RM45 bilion pada ketika penutupan penuh hampir semua sektor bukanlah jumlah yang besar dibandingkan dengan RM340 bilion yang telah dibelanjakan sewaktu PKP 1.0 dan PKP 2.0.


Bagaimanapun mereka menekankan, penyelesaian utama adalah vaksinasi. Kadar pemberian vaksin yang rendah, walaupun peruntukan RM5 bilion menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), serta proses pendaftaran atas talian vaksin AstraZeneca yang begitu kelam-kabut walaupun terdapat peruntukan RM70 juta, kata mereka, hanya menunjukkan betapa gagalnya kerajaan yang ada sekarang dalam menangani krisis.


"Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional juga telah menyebabkan krisis Covid-19 menjadi satu malapetaka hingga kita menyaksikan jumlah kes dan kematian tertinggi hari ini.


"Maka pengumuman Jemaah Menteri tidak akan mengambil gaji selama 3 bulan tidak mampu mengimbangi kegagalan total kerajaan, atau meredakan rasa takut rakyat, mahupun betapa terdesaknya begitu ramai yang mahu diberi vaksin sekarang.


"Berapa sangat yang para Menteri dan Timbalan Menteri kehilangan pendapatan dengan tidak mengambil gaji, apabila mereka masih menerima elaun bulanan Ahli Parlimen, malah lebih penting dari itu mereka masih mempunyai peruntukan tahunan RM5 juta.


"Menteri-menteri tentunya tidak perlu menggunakan elaun Ahli Parlimen mereka untuk biaya staf dan pejabat atau untuk memberi bantuan kepada penduduk di kawasan mereka," kata kenyataan itu lagi.


Oleh itu, sebagai langkah pertama menuju usaha menggarap seluruh masyarakat menangani wabak Covid-19, Majlis Presiden PH mengulangi sekali lagi tuntutan membuka Parlimen secepat mungkin, dan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang perlu diberi peruntukan kawasan yang sama untuk membantu penduduk di kawasan mereka, sehingga pandemik Covid tamat.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page