Pakar puji langkah KPM fokus pembangunan sahsiah menerusi KP2027
- Suara Keadilan
- 7 days ago
- 1 min read

Langkah baharu Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memfokuskan usaha pembangunan sahsiah dan pemupukan ilmu dalam Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) menerima pujian pakar.
Ahli akademik, P Gopala Krishnan, berkata kurikulum baharu itu yang direka untuk menggalakkan pembelajaran berasaskan pengalaman mengukuh keupayaan pelajar menghayati nilai dan menghadapi cabaran masa depan.
"Sebagai contoh, rasa hormat dipupuk melalui interaksi dalam bilik darjah, tanggungjawab menerusi rutin harian seperti membersih selepas makan dan toleransi ketika membuat keputusan berkumpulan serta beratur.
"Pendekatan rentas kurikulum ini direka untuk menjadikan nilai sebagai pengalaman hidup, yang sebati dalam kehidupan sekolah," katanya dipetik.
KPM sebelum ini memaklumkan kurikulum baharu yang akan dimulakan di peringkat pra-sekolah bagi takwim pendidikan 2026, bakal membangunkan nilai-nilai manusiawi.
Ia dijangka bakal mengubah landskap pendidikan negara dengan memberi keutamaan kepada empati, sahsiah dan kesedaran budaya sebagai teras pembelajaran.
P. Gopala sementara itu mengingatkan, berkata, walaupun menyambut baik langkah tersebut, tanpa struktur yang jelas dan akauntabiliti, pendidikan nilai berisiko dilaksanakan secara tidak konsisten antara sekolah.
Sementara itu, pengamal pembangunan belia dan komuniti, Zoel Ng, turut menyambut baik langkah baharu itu.
Beliau berkata, dalam dunia yang dibentuk kecerdasan buatan dan perubahan teknologi pesat, pembangunan sahsiah tidak lagi boleh kekal abstrak atau berasaskan peperiksaan.
"Pendekatan tradisional dalam pengajaran etika menganggap nilai sebagai kandungan untuk dihafal dan bukannya dihayati.
"Pembangunan sahsiah perlu diterapkan dalam cara pelajar bekerjasama, menyelesaikan konflik dan berhubung dengan perbezaan dalam bilik darjah serta komuniti," katanya lagi.





