
Sikap berbolak balik pemimpin PN ingin membentuk kerajaan bersama BN perlu difikirkan sematang matangnya oleh para pengundi sebelum membuang undi pada 19 November ini.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Lee Chean Chung, sikap tidak konsisten pemimpin PN itu membuktikan mereka akan mengulangi penubuhan kerajaan huru hara yang gagal memerintah Malaysia sejak 3 tahun lalu sekiranya diberi undi pada 19 November ini.
"Pagi tadi (semalam) saya terdengar berita Takiyuddin Setiausaha Agung Pas berkata PN akan kerjasama dengan BN.
"Tengah hari pula Muhyiddin (Pengerusi PN) berkata dia tak beri mandat kepada Takiyudin untuk bercakap begitu. Pagi kata ya, tengah hari kata tidak. Kalau macam ini bagaimana nak selesaikan isu negara, isu rakyat," katanya.
Sehubungan itu, calon Pakatan Harapan parlimen Petaling Jaya itu menasihatkan rakyat agar tidak membazirkan undi mereka untuk idea kerajaan BN-PN yang lintang pukang dan akan menyebabkan pelabur lari keluar.
"Sebenarnya BN ke, PN ke, sama sahaja. Lain daripada PH, kita ada hala tuju jelas. Kita tak bersama dengan Bersatu, dengan Pas, Umno. Kita konsisten dengan pendirian kita. Maka sokonglah PH untuk Malaysia lebih baik," katanya lagi.