Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan tidak menolak kemungkinan kebanjiran isi rumah melakukan kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada saat akhir sebelum tarikh tutup menjelang hujung bulan ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi berkata, sehingga 25 Februari seramai 3.79 juta isi rumah sudah mendaftar bagi mengesahkan kelayakan menjadi penerima bantuan kerajaan.
Tambahnya, kerajaan ketika ini telah memiliki kesemua data dan hanya mahukan pengemaskinian isi rumah kini supaya tidak timbul isu di kemudian hari.
"Bila dilaksana (subsidi bersasar) tidak timbul kenapa saya tidak dapat itu dan ini sebagainya.
"Oleh itu yang terbaik, kita (kerajaan) akan pastikan tempoh sebulan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seberapa banyak keluarga (untuk kemaskini PADU).
"(Kerajaan juga) ambil kira beberapa situasi, contohnya ada golongan yang merasakan mereka tidak layak dapat subsidi bersasar, jadi tidak mahu kemas kini, ada yang tunggu sehingga hampir 31 Mac, ada juga yang mungkin terkejar-kejar untuk kemas kini apabila kerajaaan umum bentuk-bentuk subsidi bersasar," katanya menerusi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan R Yuneswaran (PH– Segamat) yang ingin tahu apakah langkah-langkah akan diambil kerajaan untuk meningkatkan jumlah kemas kini maklumat dalam PADU.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, perbandingan itu tidak boleh dibuat dengan jumlah 30 juta penduduk Malaysia sebaliknya perlu melihat jumlah isi rumah.
"Ada yang meluahkan kebimbangan mengenai kadar pendaftaran PADU namun kita sebenarnya melihat kepada isi rumah
"Oleh itu, (pihak) yang mengatakan pendaftaran PADU rendah, ia kurang tepat kerana kerana rumah ketika ini adalah 7.9 juta dan itu pun belum diambil kira golongan bujang dan tidak berkeluarga. Itu juga dikira sebagai satu isi rumah. Jadi jumlah isi rumah dijangka naik kepada 9 juta," katanya lagi.
Comentarios