Kejadian padang tercabut ketika pemain beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sewaktu pasukan Malaysia menentang India dalam Pestabola Merdeka baru baru ini telah mencemar imej baik negara dalam kalangan peminat sukan.
Menurut aktivis politik Yuslaini Azmi, insiden seperti itu tidak seharusnya berlaku sekiranya pihak yang terlibat, khususnya Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) lebih berhati hati dan memberitahu hal sebenar bahawa padang Stadium Nasional Bukit Jalil belum bersedia digunakan untuk acara bola sepak.
"Menurut kenyataan PSM, padang tersebut belum mencapai tahap persediaan yang cukup untuk digunakan namun anehnya tetap juga diberi kebenaran kepada FAM menggunakan padang berkenaan.
"Pihak PSM seharusnya memaklumkan isu itu kepada FAM dan mencadangkan padang yang berbeza untuk digunakan jika menyedari hal berkenaan, namun malangnya pihak berkenaan tidak melakukan itu.
"Ia memberi gambaran pihak pengurusan tidak memahami selok-belok pengurusan stadium malah nama Malaysia juga turut tercemar dengan insiden yang memalukan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yuslaini lagi, PSM seharusnya lebih tegas dalam menjaga rapi fasiliti sukan negara kepada mana-mana persatuan sukan yang ingin menggunakan kemudahan di bawah kendalian pertubuhan itu untuk kejohanan antarabangsa khususnya.
Katanya, jika rumput padang berada dalam keadaan tidak bersedia pihak PSM boleh mencadangkan stadium lain yang berada di bawah seliaan mereka, contohnya Stadium Juara di Kompleks Sukan Bukit Kiara atau Kompleks Sukan Jalan Duta.
"Saya tidak memahami secara jelas mengapa PSM tidak melakukannya walaupun menyedari rumput padang berkenaan tidak cukup tempoh persediaan.
"Seharusnya kejadian ini diambil iktibar oleh semua pihak kerana PSM juga berada di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.
Yuslaini berharap Menteri Belia dan Sukan turut cakna berkenaan urusan fasiliti sukan negara dan tahap persediaan negara dalam menjadi tuan rumah sesuatu kejohanan antarabangsa.
Comments