Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang mendedahkan bahawa majoriti orang kampung enggan mengambil vaksin Covid-19, kerana kurangnya maklumat mengenainya di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, perkara itu dikenal pasti ketika menziarahi penduduk di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Jernang.
"Terdapat 5 kampung orang asli di kawasan tersebut, Kampung Tidong, Kampung Gamus, Kampung Ras, Kampung Kejau dan Kampung Sat. Tempat ini sangat nostalgik bagi saya, sebab kami pernah menganjurkan program Karnival Orang Asli yang julung kali di sini.
"Kami hantar bantuan makanan ke semua 5 kampung. Walaupun kami tidak mampu memberi bantuan kepada semua orang kampung dan Tok Batin tetap menghayati sumbangan kami. Mereka sangat celik politik, faham apa yang terjadi dalam “Langkah Sheraton” dan implikasinya.
"Saya juga mengambil kesempatan untuk bertanya sama ada mereka sudi menerima suntikan vaksin.
"Kami sembang lama dengan orang-orang kampung, tetapi akhirnya semua menggeleng kepala mereka.
"Setelah berbincang dengan Tok Batin, mereka mengambil keputusan untuk menjemput doktor untuk memberi taklimat agar orang kampung lebih yakin.
"Kami hadapi keadaan yang sama apabila berjumpa dengan orang kampung di Pos Tenau dan Pos Keding minggu lepas," katanya.
Justeru, beliau berpendapat, kerajaan perlu memperluaskan lagi penyebaran maklumat vaksin Covid-19 di kawasan luar bandar.
"Nampaknya, kerajaan perlu memperhebatkan usaha dalam memberi penerangan tentang vaksin terutamanya di kawasan luar bandar. Program imunisasi tidak akan berjaya selagi rakyat kebanyakan belum diyakinkan tentang manfaat vaksin," katanya.
Comments