Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menyifatkan tindakan Xavier Jayakumar meninggalkan KEADILAN untuk menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu perkara yang mengecewakan tetapi tidak terlalu mengejutkan.
Beliau berpandangan, rakyat perlu melihat dengan gambaran lebih jelas terutamanya apabila Xavier berbuat demikian selepas disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
"Ia sangat mengecewakan, tetapi anda tidak perlu jadi pakar politik untuk melihat siasatan SPRM baru-baru ini terhadap rakan-rakan Xavier.
"Satu perkara yang saya pelajari mengenai iklim politik semasa ialah kumpulan orang yang berkuasa ini akan melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa.
"Keterdesakan untuk mengisytihar darurat dan menggantung Parlimen adalah sesuatu yang tidak akan dilakukan pun oleh individu seperti Najib Razak sewaktu beliau di puncak tekanan skandal 1MDB ketika masih lagi menjadi perdana menteri.
"Kesanggupan untuk menggerakkan badan kerajaan untuk tujuan politik membawa kita kembali ke zaman autokratik pada akhir 1980-an dan 1990-an. Pemimpin sekarang ini tentunya dilatih oleh Machiavellian sendiri dan bahkan mungkin melebihi dirinya," katanya.
Wong Chen juga beranggapan bahawa sudah tidak ada lagi hormat-menghormati dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, sebaliknya ia telah digantikan dengan tindakan ancam-mengancam satu sama lain.
"Sekarang, sikap menghormati lawan politik telah digantikan oleh sesuatu yang tidak dapat diramalkan dan menyeramkan.
"Tidak menghairankan bahawa dengan tindakan luar biasa yang diambil oleh mereka yang berkuasa menyebabkan loceng penggera semua ahli Parlimen telah dibunyikan dengan lebih keras.
"Saya memahami sepenuhnya mengapa Ahli Parlimen UMNO sangat tidak senang dengan mereka yang berkuasa," katanya.
Kommentare