Ops Gasak: KPDN jamin tiada tindakan terhadap peniaga mikro
- Suara Keadilan
- Jun 20
- 1 min read

Tiada sebarang tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap peniaga mikro, termasuk pengusaha dobi layan diri dan kedai makan, berhubung penggunaan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sehingga 31 Oktober ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Dr Fuziah Salleh berkata, penguatkuasaan Operasi Gas Memasak (Ops Gasak) yang sedang dijalankan hanya tertumpu kepada sektor industri yang dikenal pasti menyalahgunakan LPG bersubsidi.
"Sekiranya penguatkuasa turun ke premis mikro, ia bukan untuk mengambil tindakan tetapi hanya bagi tujuan pengumpulan data dan maklumat penggunaan sebenar LPG," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan di Johor di Johor Bahru pada Khamis.
Beliau turut menjelaskan, KPDN ingin mendapatkan gambaran jelas tentang pola penggunaan LPG oleh peniaga mikro memandangkan perkhidmatan seperti kedai makan dan dobi memberi impak langsung kepada rakyat.
Ops Gasak adalah inisiatif penguatkuasaan terkini yang dilancarkan di bawah Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) yang dilancarkan pada 19 Oktober lepas.
Manipulasi dan ketirisan subsidi tersebut mengakibatkan negara mengalami kerugian mencecah RM3 bilion setahun
Dalam pada itu, Fuziah turut mengingatkan peniaga mikro agar memohon permit barang kawalan sekiranya menggunakan lebih daripada tiga tong gas (melebihi 42 kilogram) pada satu-satu masa bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi.
Beliau turut berkata, kerajaan bersedia menyemak semula pindaan dibuat pentadbiran terdahulu berhubung penggunaan LPG bersubsidi.
Justeru pihaknya mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri terdiri daripada peniaga mikro serta syarikat petroleum, persatuan peniaga, pemborong LPG, pengusaha restoran dan dobi bagi melihat isu itu.
"Dalam pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, ini kita lihat peraturannya apabila mereka memohon permit, mereka perlu guna (LPG) tanpa subsidi. Oleh kerana itu kita kena melihat semula (perkara itu)," katanya.
Commentaires