Op Pantau: KPDN keluarkan kompaun lebih RM500 ribu sejak 12 Mac
- Suara Keadilan

- Apr 6, 2024
- 2 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kompaun serta-merta bernilai RM558,956 atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Pantau 2024 di seluruh negara sejak 12 Mac hingga semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata tindakan itu adalah hasil pemeriksaan terhadap 38,126 premis melibatkan bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan penjualan secara dalam talian.
"Bermula dari 12 Mac bermula dari 1 Ramadan hingga 4 April, kita hasilkan 164 kes dan ada kompaun serta-merta RM558,956.63 dan pada masa sama selain daripada pemeriksaan, kita terima aduan 1,216 pelbagai kategori aduan daripada orang awam
"Antara kesalahan diambil tindakan ialah kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang tiruan," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) Bahagian Penguat Kuasa KPDN di Putrajaya semalam.
Armizan berkata pelaksanaan Ops Pantau digerakkan sepenuhnya melalui Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Bersepadu (IEMS) bagi membolehkan tindakan susulan pantas dan berkesan dilaksanakan.
Jelasnya IEMS diguna pakai sepenuhnya di seluruh negara awal tahun ini setelah melalui proses pembangunan fasa dua melibatkan penaiktarafan kaedah pemeriksaaan dan pengkompaunan.
Beliau berkata proses penaiktarafan turut meliputi modul kawalan selia harga dan bekalan, harta intelek, pengurusan penguatkuasaan dan aplikasi mudah alih bagi kegunaan operasi pegawai penguat kuasa menerusi telefon bimbit, tablet, komputer riba serta pencetak.
Menurutnya, proses penaiktarafan itu membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan menggunakan konsep 5P iaitu perisikan, pemeriksaan, penyiasatan, pendakwaan dan pengurusan ekshibit.
"Sistem ini akan terus ditambah baik lrngkap sepenuhnya menjelang 2026 bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dapat dijalankan secara pantas menggunakan kaedah penguatkuasaan secara digital.
"Jadi dengan adanya kaedah itu bukan hanya kita pastikan aduan boleh disampaikan oleh penguat kuasa pada masa nyata kepada pusat arahan tetapi dari segi aspek ketelusan.
Penguat kuasa boleh terus masukkan data ke dalam sistem dan dicetak di lokasi, jadi terus masuk ke pusat arahan, tidak timbul istilah kompaun boleh dibatalkan," katanya.
Mengenai ECC, Armizan berkata pusat arahan itu akan beroperasi seperti biasa pada cuti umum Hari Raya bagi memastikan tugas penguatkuasaan dan pemantauan diteruskan.
"Fokus utama adalah memastikan keberadaan bekalan barang dan kestabilan harga barangan keperluan sepanjang musim perayaan ini," katanya.
ECC di ibu pejabat KPDN beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 8 malam manakala ECC di pejabat KPDN negeri beroperasi 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.




Comments