top of page

Onn Hafiz tanya 'poster boy' tetapi tidak mesti jadi MB, mana satu betul?

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Pakatan Harapan (PH) mempunyai ramai pemimpin yang layak, berwibawa dan berintegriti untuk memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.


Justeru itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) menegaskan PH tidak mahu menjadikan isu jawatan atau politik persepsi sebagai modal kempen, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada perkara yang lebih dekat dengan rakyat.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sebelum ini mempersoalkan mengapa PH masih belum mengumumkan calon Menteri Besar mereka dan menyifatkan rakyat berhak mengetahui perkara tersebut.


Menurut Zaliha, desakan berkenaan dilihat bercanggah apabila Onn Hafiz pada masa sama menyatakan status seseorang sebagai ‘poster boy’ bukan jaminan individu itu akan dilantik sebagai Menteri Besar.


"Jadi yang mana satu sebenarnya? Jika pelantikan Menteri Besar akhirnya tertakluk kepada proses dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, mengapa isu ini dijadikan polemik politik?" katanya dalam hantaran menerusi media sosial.


Zaliha berkata PH menghormati sepenuhnya Undang-Undang Tubuh Negeri Johor serta kuasa Sultan Johor dalam proses pelantikan Menteri Besar.


Beliau mengingatkan pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini apabila Barisan Nasional (BN) menampilkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai ‘poster boy’, namun selepas kemenangan BN, Onn Hafiz pula dilantik menerajui Kerajaan Negeri.


Beliau berkata rakyat berhak menilai sama ada isu calon Menteri Besar yang dibangkitkan itu benar-benar berkaitan hak rakyat untuk tahu atau sekadar percubaan mencipta polemik politik.


Sebelum ini, Onn Hafiz meminta PH menjelaskan siapa calon Menteri Besar mereka sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya negeri akan datang dengan alasan rakyat perlu mengetahui calon yang bakal menerajui Johor.


Zaliha berkata fokus PH kekal kepada usaha mendekati rakyat, mendengar permasalahan mereka serta menawarkan dasar dan penyelesaian bagi meningkatkan taraf hidup, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh ekonomi Johor.


"Rakyat Johor lebih berminat mengetahui bagaimana masa depan mereka boleh diperbaiki, bukan siapa yang paling sibuk bermain politik persepsi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page