Onn Hafiz jangan jadikan subsidi minyak umpan politik - Mahfuz
- Helmi Mohd Foad
- 2 hours ago
- 2 min read

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diingatkan agar tidak menjadikan isu subsidi bahan api sebagai umpan politik bagi meraih sokongan rakyat sebaliknya perlu mengemukakan cadangan berasaskan fakta serta mengambil kira kemampuan kewangan negara.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar berkata gesaan Onn Hafiz supaya kerajaan memansuhkan kuota subsidi bahan api lebih bersifat politik berbanding satu penyelesaian dasar yang menyeluruh.
Beliau mempersoalkan pendirian Pengerusi BN Johor itu berhubung dasar penyasaran subsidi yang telah diputuskan kerajaan melalui Jemaah Menteri termasuk dengan penglibatan menteri daripada UMNO.
"Persoalan pertama, siapa yang meluluskan dasar penyasaran subsidi? Bukankah ia diputuskan oleh Jemaah Menteri yang turut dianggotai menteri-menteri UMNO dan Barisan Nasional?
"Jika benar dasar itu salah, adakah beliau sedang menyalahkan menteri-menteri daripada partinya sendiri?" katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata Onn Hafiz juga perlu menjelaskan sama ada beliau mahu Malaysia kembali kepada sistem subsidi pukal yang sebelum ini dikritik kerana memberi manfaat kepada golongan yang tidak layak termasuk penyeludup dan syarikat besar.
"Jika itulah cadangannya, beliau wajib menjelaskan kepada rakyat berapa puluh bilion ringgit tambahan yang perlu ditanggung kerajaan setiap tahun," katanya.
Beliau berkata pemimpin bertanggungjawab seharusnya memperbaiki kelemahan pelaksanaan sesuatu dasar, bukannya mencadangkan pemansuhan tanpa menjelaskan kos dan akibat kepada rakyat serta negara.
"Hakikatnya, setiap ringgit subsidi datang daripada wang pembayar cukai dan hasil negara. Tugas pemimpin ialah mendidik rakyat mengenai pengurusan kewangan negara yang berhemah, bukannya menjanjikan sesuatu yang sedap didengar ketika pilihan raya," katanya.
Menurut Mahfuz, isu subsidi tidak seharusnya dijadikan bahan politik kerana kestabilan kewangan negara perlu menjadi keutamaan.
Beliau turut mendakwa UMNO sendiri pernah melakukan penyusunan semula subsidi ketika menjadi kerajaan atas alasan kedudukan fiskal negara, namun kini mengambil pendirian berbeza apabila berdepan musim pilihanraya.
"Di meja Kabinet bercakap tentang disiplin fiskal, di pentas pilihanraya bercakap tentang subsidi tanpa had. Rakyat berhak bertanya, yang mana satu pendirian sebenar?" tanyanya.
Mahfuz berkata, jika terdapat kelemahan dalam sistem kuota subsidi, perkara itu perlu diperbaiki dengan meningkatkan bantuan kepada sektor yang benar-benar memerlukan, memudahkan proses permohonan serta menutup ruang ketirisan.
"Yang perlu dimansuhkan ialah ketirisan, bukan penyasaran subsidi."
Beliau turut menggesa Onn Hafiz membawa cadangan penambahbaikan melalui saluran Kabinet, bukannya hanya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
"Politik yang matang bukan berlumba menawarkan subsidi. Politik yang matang ialah memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," kata Mahfuz lagi.
