top of page

OCC sokong inisiatif MCMC perkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 17
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di bawah SUHAKAM menyokong langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menetapkan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai pemegang lesen perkhidmatan aplikasi, berkuatkuasa 1 Januari 2026.


Menerusi satu kenyataan OCC berkata, inisiatif tersebut selaras dengan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming)


"OCC memuji langkah ini sebagai satu langkah penting dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan dalam Talian 2025 di Malaysia.


"Penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan platform mereka secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak.

"Langkah pengawalseliaan ini adalah satu perkembangan penting ke arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian," jelas mereka.


Kenyataan itu turut menegaskan bahawa di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada semua bentuk kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam ruang digital.


Perlindungan ini termaktub di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC, yang mewajibkan Kerajaan sebagai Negara Pihak untuk mengambil langkah proaktif dan pencegahan bagi menangani potensi risiko terhadap kanak-kanak.


"Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi.


"Dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab ini turut merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial," tambah kenyataan itu.


OCC juga menegaskan komitmen mereka yang bersedia kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak.


"OCC menyokong usaha MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka," kata kenyataan itu lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page