top of page

Nurul Izzah suntik semangat konvoi motorsikal anak muda DUN Labu

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read
Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen meskipun berdepan pelbagai cabaran
Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen meskipun berdepan pelbagai cabaran

Seramai 250 anak muda menyertai Konvoi Bermotosikal menjelajah sekitar DUN Labu petang tadi bagi memeriahkan hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sambil menyampaikan mesej terakhir kepada pengundi agar memberi mandat kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.


Konvoi bermula di Bandar Enstek itu dilepaskan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.


Konvoi tersebut dipimpin Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Kamil Munim selain dimeriahkan dengan penyertaan pelakon terkenal, Farid Kamil.


Terdahulu dalam ucapannya, Nurul Izzah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh berkempen meskipun berdepan pelbagai cabaran.


"Kita merakamkan penghargaan kepada semua jentera. Saya tahu bukannya mudah. Dalam keadaan ini kita sentiasa berhadapan dengan seribu satu cabaran dan dugaan.


"Namun inilah masanya untuk kita memastikan segala kejayaan yang telah dilakar kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dapat diteruskan untuk penggal kedua," katanya.


Kamil Munim (kiri sekali) memimpin konvoi motorsikal  menjelajah sekitar DUN Labu
Kamil Munim (kiri sekali) memimpin konvoi motorsikal  menjelajah sekitar DUN Labu

Beliau berkata, Negeri Sembilan telah membuktikan pencapaian yang baik di bawah pentadbiran PH menerusi pengurusan kewangan yang berhemat serta pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan untuk rakyat.


"Kita jangan lupa apa yang telah dilakukan kerajaan negeri, termasuk membantu golongan memerlukan dan menyediakan bantuan kepada pelajar.


"Jangan biarkan fitnah menenggelamkan segala usaha yang telah dilaksanakan," katanya.


Mengulas mengenai calon PH DUN Labu, Nurul Izzah menyifatkan Ahmad Faez sebagai pemimpin yang telah lama berkhidmat kepada masyarakat dan memahami keperluan rakyat setempat.


Beliau turut menyeru anak muda supaya memainkan peranan penting pada hari pengundian dengan memastikan seramai mungkin pengundi keluar mengundi.


"Orang muda di sini, tolonglah. Esok naik motor, pastikan keluar mengundi. Jangan kita sia-siakan peluang ini.


"Pihak lawan mempunyai jentera yang kuat dan berpengalaman. Sebab itu setiap seorang daripada kita mesti berusaha mengajak ahli keluarga, sahabat dan jiran supaya keluar membuang undi," katanya.


Menurut beliau, kemenangan hanya mampu dicapai sekiranya penyokong PH berjaya diterjemahkan kepada undi pada hari pengundian.


"Kita kena pastikan setiap pengundi yang layak datang membuang undi di saluran masing-masing.


"Menjadi calon bukan soal glamor, tetapi amanah untuk bekerja menyelesaikan masalah rakyat. Sebab itu kita mahu Datuk Ahmad Faez diberi peluang untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Labu," katanya.


Kerusi DUN Labu yang mempunyai 32,884 pengundi menjadi antara tumpuan pada PRN Negeri Sembilan kali ini apabila menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez yang dicabar BN dan Bersatu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page