Nurul Izzah berperanan perkukuh jentera KEADILAN, bimbing sistem TERAS
- Hasbul Ahmad

- 3 days ago
- 2 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar tidak diketepikan daripada struktur baharu Jawatankuasa Pilihan Raya KEADILAN, sebaliknya diberi tanggungjawab penting memperkukuh latihan jentera dan penyelenggaraan sistem pilihanraya TERAS yang dibangunkan beliau sebelum ini.
Timbalan Setiausaha I Wanita KEADILAN Pusat, Rozy Razit berkata naratif kononnya Nurul Izzah dikesampingkan adalah tidak benar kerana beliau sendiri memilih untuk memberi fokus kepada pengukuhan organisasi parti di peringkat akar umbi.
"Nurul Izzah tidak digugurkan, sebaliknya beliau memilih untuk turun memperkukuh parti dari bawah.
"Tanggungjawab latihan jentera dan penyelenggaraan sistem TERAS yang digalas beliau membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan KEADILAN kekal kuat dan tersusun menghadapi cabaran politik mendatang," kata Rozy dalam satu kenyataan.
Rozy yang juga Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor berkata, tiada istilah “rehat” buat Nurul Izzah kerana mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kini memberi tumpuan penuh kepada pembangunan organisasi parti termasuk memperkemaskan sistem TERAS yang menjadi tulang belakang gerak kerja pilihanraya parti.

"Kekuatan sebenar parti bukan hanya terletak pada kepimpinan di peringkat atasan, tetapi bergantung kepada keutuhan jentera serta kesatuan anggota di akar umbi.
"Kekuatan sebenar parti bukan hanya di pentas kepimpinan tetapi lahir daripada kesatuan anggota dan keutuhan jentera di akar umbi. Itulah fokus yang sedang digerakkan oleh Nurul Izzah ketika ini," katanya.
Beliau dalam masa sama menggesa semua pihak supaya tidak memutarbelit fakta atau mencipta persepsi yang boleh mengelirukan anggota parti dan rakyat berhubung peranan Nurul Izzah dalam struktur baharu parti.
Untuk rekod, naratif kononnya Nurul Izzah dikesampingkan mula dikesan sejak semalam apabila Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh mengumumkan Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama yang baharu menggantikan Nurul.
Sedangkan dalam kenyataan sama turut diumumkan pelantikan Nurul dalam memperkukuh latihan jentera dan penyelenggaraan sistem pilihanraya KEADILAN.




Comments