
Ungkapan pemimpin Umno, Datuk Nur Jazlan Mohamed kononnya semalam adalah tarikh terakhir Memorandum Kerjasama (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Persekutuan meleset sama sekali.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, MoU tersebut terus berkuatkuasa sehingga Parlimen dibubarkan berdasarkan Perkara 2.1 yang menetapkan memorandum terpakai sehingga tarikh pembubaran Parlimen.
"Macam mana nak jadi pemimpin bila benda basic pun Nur Jazlan gagal nak faham.
"Bukannya dokumen MoU ni dokumen rahsia ke apa," katanya merujuk dokumen MoU boleh diakses sesiapa sahaja di laman sesawang rasmi Parlimen Malaysia.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut mengandaikan Nur Jazlan mungkin tidak membaca ke seluruhan isi kandungan memorandum maka beliau gagal faham bahawa tarikh 31 Julai itu hanya persetujuan pihak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak membubarkan Parlimen, bukan tarikh akhir MoU.

"Mungkin dia tak baca sepenuhnya? Atau sengaja tak nak faham atas sebab-sebab tertentu.
"Untuk sekian kalinya, saya nak jelaskan MoU tak tamat hari ni (Perkara 2.1), wahai Nur Jazlan.
"Dalam bab ‘gencatan politik’ tu pun, tugas dan peranan Pakatan Harapan sebagai Pembangkang juga ditulis dengan jelas (Perkara 9.1).
"Dokumen MoU mana yang Nur Jazlan baca ni?" tanyanya.
Sebelum ini pihak PH menegaskan tidak perlu ditandatangani MoU kali kedua sekiranya masih ada beberapa Perkara yang belum dilaksanakan dalam 18 Perkara yang dipersetujui, kerana MoU berkenaan boleh diteruskan sehingga Parlimen terbubar.
Semalam, Nur Jazlan mengumumkan rasa bebas merdeka Umno daripada ikatan MoU bersama pembangkang kerana menurut beliau MoU itu tidak menyekat daripada kritikan keras PH ke atas kerajaan BN - PN. Malah, katanya BN seperti terbelenggu dengan kelicikan PH yang mengusulkan MoU berkenaan pada September tahun lalu.