top of page

NTIS lonjak inovasi negara, catat nilai komersial lebih RM171 juta

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 1 min read

Datuk Chang Lih Kang berucap pada Majlis Sambutan Pencapaian Lima Tahun dan Hala Tuju NTIS
Datuk Chang Lih Kang berucap pada Majlis Sambutan Pencapaian Lima Tahun dan Hala Tuju NTIS

Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) terus membuktikan keberkesanannya sebagai pemangkin inovasi negara apabila berjaya menyokong 101 teknologi tempatan dengan nilai pengkomersialan mencecah RM171.8 juta sepanjang lima tahun pelaksanaan.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja melonjakkan inovasi ke peringkat pengkomersialan, malah mewujudkan 333 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi dan industri bernilai tinggi.


Tambah beliau, angka berkenaan juga mencerminkan keupayaan bakat tempatan untuk melangkaui fasa pengujian dan prototaip, seterusnya menembusi pasaran sebenar.


"Ini membuktikan bahawa inovasi bukan sahaja mencipta produk baharu, tetapi turut menjana pekerjaan berkualiti serta meningkatkan daya saing bakat tempatan.


"Dari sudut keterbukaan pasaran, sebanyak 14 penyelesaian teknologi dibangunkan melalui NTIS berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan tambahan nilai eksport berjumlah RM122.8 juta kepada nilai pengkomersialan," katanya dipetik.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Pencapaian Lima Tahun dan Hala Tuju NTIS di Setia City Convention Centre (SCCC) di Shah Alam.


Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; serta Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Prof Dr Rofina Yasmin Othman.


Sementara itu Lih Kang berkata, bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) , prestasi ditunjukkan NTIS membuktikan model sandbox berfungsi secara berkesan dalam ekosistem Malaysia.


Seiring peralihan ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), pendekatan NTIS akan memberi tumpuan kepada penskalaan penyelesaian dan penerapan teknologi secara lebih meluas merentas kementerian, agensi serta negeri, selaras aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekonomi berteraskan inovasi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page