top of page

Tabung Solidariti Najib: Tindakan mengumpul derma menormalisasikan rasuah?

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
58 minutes ago
2 min read

Usaha UMNO mengumpul dana bagi membantu Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta bagi membanrkan beliau menjalani hukuman tahanan rumah mencetuskan persoalan mengenai mesej yang mahu disampaikan kepada masyarakat mengenai budaya integriti dan antirasuah, kata Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean (gambar).


Beliau berkata, Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan Umno bagi membantu bekas Perdana Menteri itu membayar denda kini dilaporkan mencecah RM1 juta.


Menurut Ker Chean, tindakan mengumpul dana berkenaan menimbulkan persoalan sama ada kesalahan rasuah boleh dilihat secara berbeza berdasarkan niat atau populariti seseorang.


"Pertama, tindakan ini menimbulkan persoalan sama ada Umno sedang melazimkan budaya bahawa rasuah boleh dimaafkan selagi seseorang itu mendakwa wang yang diterima akhirnya digunakan untuk ‘membantu rakyat’.


"Dalam negara yang mahu membina budaya integriti, kesalahan rasuah tidak sepatutnya dinilai berdasarkan niat atau populariti seseorang, tetapi berdasarkan undang-undang dan prinsip akauntabiliti," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau turut mempersoalkan mesej yang bakal diterima generasi muda sekiranya sebuah parti politik membantu pemimpin melunaskan hukuman denda.


"Kedua, apakah mesej yang sedang dihantar kepada generasi muda? Jika seorang pemimpin yang disabitkan kesalahan boleh mendapat sokongan kewangan sebuah parti untuk membantu membayar hukuman kewangannya, kita perlu bertanya: adakah kita sedang membina budaya membenci rasuah, atau budaya memaafkan rasuah apabila pelakunya ialah pemimpin yang kita sokong?" soalnya.


Pada 2020, Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan dalam kes SRC International membabitkan RM42 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Hukuman penjara kemudian dikurangkan kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta menerusi keputusan Lembaga Pengampunan pada 2024.


Justeru Ker Chean berkata, solidariti politik tidak seharusnya mengatasi usaha memperkukuh institusi dan budaya antirasuah.


"Parti politik memang berhak membantu ahli dan pemimpin mereka dalam batas undang-undang.


"Tetapi parti politik juga mempunyai tanggungjawab moral kepada masyarakat untuk menunjukkan bahawa penyalahgunaan kuasa mempunyai akibat, tanpa mengira siapa pelakunya atau sebesar mana sumbangan politiknya," ujarnya.


Beliau berkata prinsip membanteras rasuah perlu diterapkan secara konsisten tanpa mengira latar belakang atau kelompok politik individu yang terlibat.


"Kalau benar kita mahu Malaysia bebas rasuah, prinsipnya mesti mudah, jangan normalisasikan rasuah hanya kerana pelakunya daripada kelompok kita sendiri," katanya.


Untuk rekod, semalam Najib mendapat pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman dalam kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page