Noktahkan penghijrahan belia Johor Lama - Danish Hossman
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 1 min read

Danish Hossman Abd Rahman (gambar) tekad memanfaatkan seluruh tempoh baki kempen untuk hadir menyantuni dan bertemu pengundi di DUN N.37 Johor Lama.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu berkata, momentum positif serta penerimaan rakyat setempat sepanjang tempoh separuh masa pertama kempen telah menjadi "suntikan semangat" untuk beliau membawa perubahan dinamik di kawasan berkenaan.
"Apabila menyantuni golongan veteran dan pengundi yang lebih berusia, mereka suka anak muda yang dilihat ikhlas dan bersemangat turun ke padang berjumpa secara bersemuka dengan pengundi dan mendengar sendiri masalah.
"Usia sebagai ukuran kepimpinan,saya berhasrat untuk berperanan sebagai "jambatan strategik" menghubungkan pengalaman pemimpin terdahulu dengan aspirasi segar generasi baharu," kata calon termuda PRN Johor itu dipetik Bernama.
Danish Hossman sebagai mengulas agenda yang akan diperjuangkan di kawasan itu berkata, antara fokus utamanya adalah memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan sekaligus menyelesaikan isu penghijrahan keluar golongan muda untuk mencari pekerjaan.
Justeru, beliau berhasrat untuk membawa lebih banyak pelaburan dan membangunkan industri hiliran yang bersesuaian dengan potensi Johor Lama, termasuk mengusahakan tanaman serta aktiviti penternakan di kawasan benteng bagi merancakkan ekonomi setempat.
"Matlamat saya, saya mahu anak muda di DUN Johor Lama mempunyai pilihan untuk membina kerjaya, membina keluarga dan membina masa depan di tanah kelahiran mereka sendiri," katanya.




Comments