top of page

Noktahkan kemiskinan selari dengan Islam, tidak bercanggah fitrah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 6
  • 2 min read

Updated: Aug 7


ree

Oleh: Helmi Foad


Perdebatan tentang sejauh mana usaha menoktahkan kemiskinan menepati ajaran Islam terus menjadi perhatian, susulan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Zawawi Nik Salleh yang menyifatkan misi Kerajaan Madani dalam membasmi kemiskinan sebagai bercanggah dengan "fitrah" penciptaan manusia.


Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi termasuk daripada Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Kota Bharu, Mohd Syahiran Muhammad (gambar), yang menyatakan bahawa pandangan tersebut tidak berlandaskan sejarah atau prinsip Islam sebenar.


"Kami menilai ucapan tersebut sebagai sebuah ucapan yang menyesatkan ummah, kerana tidak pernah ada dalil bahkan pendapat mana-mana imam mujtahid yang melarang perjuangan menoktahkan kemiskinan oleh mana-mana pemerintah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, sejarah Islam membuktikan bahawa usaha memakmurkan negara dan membasmi kemiskinan bukan sahaja pernah berlaku malah dijadikan contoh pentadbiran berkesan dalam pemerintahan Islam.


"Bahkan dalam lembaran sejarah Islam, beberapa pemimpin telah berjaya memakmurkan khilafah dan negara seperti mana yang pernah dilakukan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz, sehinggakan sukar untuk memberikan zakat kerana rakyat pada zaman itu (yang hampir keseluruhan) melepasi tahap kemiskinan," jelasnya.


Terdahulu ketika berucap di Dewan Rakyat pada 4 Ogos lalu, Nik Zawawi menyebut bahawa kemiskinan merupakan sebahagian daripada fitrah penciptaan manusia yang tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.


Kenyataan ini dilihat bertentangan dengan pendekatan kerajaan semasa yang meletakkan sasaran menoktahkan kemiskinan tegar melalui pelbagai program intervensi dan kebajikan.


Namun bagi pihak KEADILAN Cabang Kota Bharu, usaha itu bukan sahaja perlu diteruskan, malah disokong kerana ia berakar daripada nilai Islam yang mementingkan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.


Mohd Syahiran menyarankan agar Nik Zawawi menyemak kembali kefahaman sejarah Islam, khususnya berkaitan kejayaan para khalifah yang mengangkat martabat rakyat melalui dasar pemerintahan yang adil dan berpaksikan kemakmuran ummah.


"Sehubungan itu, kami sarankan beliau mempelajari semula subjek 'Tarikh Islam' atau sejarah Islam khususnya perihal berkaitan kejayaan beberapa orang khalifah yang memakmurkan negara Islam dengan menoktahkan kemiskinan," ujarnya.


Selain itu, beliau turut menyeru rakyat agar lebih kritikal terhadap pemimpin yang menyampaikan hujah agama yang menyimpang daripada fakta dan sejarah.


"Juga seruan kepada rakyat secara umum untuk menolak pemimpin yang menyatakan fakta yang menyimpang dari perspektif Islam kerana dengan keberadaan pemimpin sebegini, rakyat telah berjaya diulit dengan fatwa agama yang salah," akhirinya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page