Nokhtahkan percubaan gugat Kerajaan Perpaduan - Fahmi
- Redzuan Shamsudin
- May 11, 2023
- 2 min read

Percubaan terus mengganggu gugat Kerajaan Perpaduan harus dihentikan dalam sidang Dewan Rakyat hujung bulan ini.
Bagi Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil, percubaan untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan lebih kepada mensabotaj pemulihan ekonomi dan hal itu perlu dinokhtahkan.
"Kita perlu bersatu hati, satu suara, satu skrip kerana inshaallah pada 14 Mei ini kita laksanakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang pertama. Pada 22 Mei kita akan ada sidang parlimen untuk pertengahan tahun. Kita dengar ada ura ura angka (sokongan kepada PN) disebut tetapi pintu itu dah tutup, atap dah seal, pintu belakang dah lock. Kalau nak buat, buat betul betul (Usul Percaya di dewan)
"Sebagai saksi di Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022 lalu PM telah bawa usul memberi keyakinan kepada beliau. Pada waktu itu terbukti 148 (anggota menyokong) itu sahih.
"Takkanlah setiap kali nak mesyuarat parlimen kita nak mulakan dengan Undi Percaya. Itu sangat tidak membantu, malah kalau tidak dinokhtahkan isu ini, ia akan mengganggu gugat hasrat merancakkan ekonomi juga mensabotaj pemulihan negara kita.
"Pada sidang parlimen akan datang ini kita akan nokhtahkan ingauan para pengigau itu," katanya dalam majlis dialog bersama pengiat siber PH dan BN di Auditorium UMNO, Aras 4, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.
Dalam pada itu Fahmi juga menegur penggiat siber Kerajaan Perpaduan agar tidak melanggar undang undang dalam kegiatan mereka.
Katanya undang undang bertindak sama rata kepada semua pihak. Sama ada pihak pembangkang atau kerajaan.
"Ada yang kata kita diktator, cengkam, padahal kalau semua itu benar tak ada badan antarabangsa Reporter Without Borders mengiktiraf bahawa kerajaan yang ada pada hari ini telah membuka ruang kepada media sehingga meningkat 40 anak tangga ke nombor 73. Tak pernah berlaku dalam sejarah negara kita.
Media memang bebas, hak bersuara memang termaktub tetapi hak untuk memfitnah, mengadu domba perkauman sempit atau fahaman keagamaan ekstrem itu tidak ada. Sebab bila kita rujuk lembaran sejarah yang baru berlaku, pada 24 November 2022 kenapa Duli duli Yang Maha Mulia Raja Melayu memberi perkenan untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan
"Kerana kita faham Malaysia ini terbentuk dengan satu cita cita, tahun ini kita sambut tahun ke 60 pembentukan Malaysia.
"Kita mempunyai visi yang sangat besar dan itulah kita perlu pertahankan, Malaysia majlmuk, saling menghormati, tiang serinya jelas. Kedudukan orang Melayu, agama Islam, kedudukan raja raja itu sangat jelas," katanya.
Fahmi berharap kerajaan yang wujud sekarang ini dipertahankan sehingga ke penghujung penggal kerana rakyat tidak lagi sanggup menghadapi ketidakstabilan politik.
"Pada ketika negara dilanda wabak pandemik, di situ kita lihat kerajaan bertukar tangan, PM silih berganti. Tidak pernah kita lihat dalam sejarah.
"InshaAllah ia tidak lagi akan berlaku. Cukuplah ketidakstabilan, kita dimomokkan (isu isu perkauman)," katanya lagi.
Comentários