NIOSH tawar latihan OSH-C percuma untuk 10,000 peserta
- Suara Keadilan

- Feb 8
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menawarkan latihan percuma bagi kemahiran berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
NIOSH menerusi satu kenyataan berkata, program latihan itu merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu bertujuan melahirkan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) yang kompeten.
"Program OSH-C percuma ini terbuka kepada warganegara Malaysia yang berusia 25 hingga 50 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya setahun pengalaman bekerja.
"Ia menyasarkan individu yang tidak bekerja, bekerja sendiri atau bekerja di syarikat yang tidak mencarum kepada HRD Corp," kata kenyataan itu.
Mensasarkan 10,000 peserta, program itu turut terbuka kepada pekerja dalam syarikat kategori mikro dengan pendapatan tahunan di bawah RM300,000 dan bilangan pekerja kurang daripada lima orang serta syarikat kecil yang mencatat pendapatan tahunan di bawah RM15 juta dan bilangan pekerja kurang daripada 75 orang.
Program OSH-MADANI diumumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika merasmikan program Pra Pelancaran "Sidang Kemuncak Pekerja Selamat dan Sihat ASEAN 2025" (ASEAN OSH 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu.
Seksyen 29A Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 menetapkan keperluan untuk melantik OSH-C bagi semua tempat kerja yang mempunyai bilangan pekerja seramai lima orang atau lebih bagi membantu dan menasihati majikan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).









Comments