Malaysia Madani bukan sahaja menuntut satu perubahan paradigma yang mana mahasiswa perlu bekerja keras mencipta kejayaan, membina kerjaya namun ianya lebih daripada itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, para mahasiswa yang akan mengambil alih kepimpinan masa akan datang perlulah membina tamadun. Memastikan negara lebih baik pada masa akan datang berbanding hari ini dalam bidang ilmu sekali adab dan akhlak sebagai manausia berilmu.
Beliau berkata demikian dalam pembukaan program Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia di Dewan Annex UiTM Shah Alam, tengah hari tadi.
"Penubuhan (universiti) ini bukan perancangan dari (pimpinan) atas tetapi tuntutan dari bawah. Maka yang menuntut (mahasiswa) dan pengajar harus ada perasaan sedemikian.
"Perlu tahu kewujudan itu berasaskan suara rakyat yang susah mahu menikmati kemerdekaan (bangsa lebih berilmu). Ini perbezaannya.
"Saya dalam Madani ini mengasak dengan kuat elit penguasa yang menggunakan kekayaan untuk membolot kekayaan dan menganggap jawatan Menteri atau PM itu berarti mengkayakan kroni dan sanak saudara. Saya asak. Bukan sahaja bantah tindakan tetapi juga pemikiran
"Jadi anak mahasiswa harus tahu apa erti merdeka dan erti sejarah UiTM ini, bermakna harus membawa pemikiran baru.
"Saudara bertanggungjawab bukan sahaja membina kerjaya dan keluarga tetapi membina tamadun. Tamadun itu tegak dengan keyakinan. Dengan nilai dan dengan ilmu tinggi," katanya.
Selain itu, Anwar juga menerangkan rentetan sejarah UiTM yang ditubuhkan hasil daripada keresahan orang Melayu yang mahukan diperbanyak bidang pendidikan kepada anak anak Melayu
PM berkata, biar pun Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan oleh bekas PM Tun Razak tidak sepenuhnya berjaya namun dalam bidang pendidikan ianya telah berlaku mobiliti sosial.
"Kalau kita lihat dari segi kesannya, dampak kejayaan ini adalah dari UiTM itu sendiri. Jadi pemimpin mahasiswa dan tenaga pengajar harus ingat. Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin fokus dalam bidang kecemerlangan. Dia lahirkan keprihatian dalam upah diperolehi (skil mahasiswa dan gaji pekerja).
"Kita punya pimpinan di Kementerian Pendidikan Tinggi yang mempunyai kerangka pemikiran sesuai untuk memenuhi tuntutan pendidikan tinggi," katanya lagi.
Anwar juga membawakan satu perkara penting untuk negara pada masa hadapan, iaitu tatakelola baik. Katanya, dengan tatakelola baik maka kerajaan boleh menyelamatkan wang negara dan akan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat di kemudian hari.
Khusus kepada bidang pendidikan, beliau menegaskan, pendidikan itu bertangungjawab untuk meningkatkan nilai, akhlak dan membangun tamadun.
"Tamadun tidak dibangun semata mata dengan semangat, ilmu, kemahiran tetapi dengan keseluruhan iltizam untuk mengangkat martabat insan.
"Inilah saya harap dapat kerjasama dari anak anak untuk kita bersama sama bangunkan Malaysia Madani," katanya.
Dalam ucapan itu juga Anwar menyentuh peruntukan yang disediakan kerajaan dalam Belanjawan 2023 untuk UiTM sebanyak RM2.6 bilion setahun. Jumlah itu bukan jumlah kecil dan untuk pembangunan sahaja sebanyak RM1.7 bilion. Semua itu katanya, untuk menjamin generasi Malaysia akan datang berlimu dan berpengetahuan.
Comentários