Nilai kemanusiaan penting dalam pemerkasaan ekonomi, teknologi tinggi
- Suara Keadilan
- 59 minutes ago
- 2 min read

Nilai kemanusiaan mesti menjadi teras dalam usaha negara memperkasa ekonomi serta meluaskan penggunaan teknologi tinggi, selaras dengan prinsip Kerajaan Madani.
Penegasan itu disampaikan oleh Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Kuala Lumpur dan Putrajaya, Zairudin Hashim, ketika merasmikan Program Forum Kefahaman Malaysia Madani di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) Kampus Batu Muda, baru baru ini.
"Nilai kemanusiaan sentiasa ditekankan dalam usaha Kerajaan Madani memperkasa ekonomi serta memperluas penggunaan teknologi tinggi dalam memastikan kemajuan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Zairudin menjelaskan bahawa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi satu gagasan besar bagi membina sebuah negara bangsa yang maju serta seimbang dari sudut fizikal dan moral.
"Malaysia Madani sebuah gagasan untuk membina negara bangsa yang maju, seimbang, progresif, dan beretika, yang menjadikan akhlak sebagai tonggak penting di samping kemajuan fizikal," katanya.
Forum Kefahaman Malaysia Madani sebahagian Program Dakwah Negara 2025
Program anjuran YADIM bersama NGO HALUAN itu merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 program Dakwah Negara 2025 yang dilaksanakan di seluruh negara. Forum tersebut menampilkan tiga panelis utama — Prof Dr Azizan Ahmad (UKM), Prof. Dr Zulaiha Ali Othman (UKM) dan Ustaz Abu Bakr Mohd Sidek (Akademi Baitul Maqdis) — manakala Dr Razali Maarof (HALUAN) bertindak sebagai moderator.
Zairudin turut menegaskan bahawa gagasan Malaysia Madani mengangkat nilai keseimbangan antara kemajuan material dan akhlak, mengambil inspirasi daripada perkembangan tamadun Islam terdahulu.
"Mengambil contoh pembangunan Kota Madinah dan Andalusia, gagasan murni ini merupakan konsep pembangunan negara yang menekankan keseimbangan kemajuan teknologi dan ekonomi, berteraskan nilai Islam dan prinsip murni untuk melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak, sejahtera, serta bersatu padu berbilang kaum."
Program tersebut berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, mencerminkan komitmen berterusan YADIM dalam memperkukuh kefahaman rakyat terhadap nilai dan prinsip Malaysia Madani.





