Pertubuhan RAPAT Rakyat, sebuah NGO membela kebajikan reformis kelmarin menganjurkan sambutan Aidilfitri di Dewan Orang Ramai Seksyen 4 Kota Damansara, Selangor.
Menurut Presiden RAPAT, Mustaffa Kamil Ayub, majlis tersebut yang dihadiri kiri kira 500 orang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
"Kebanyakan hadirin diraikan dari kalangan masyarakat B40 Gugusan Matahari Flat Rakyat, Kota Damansara. Termasuklah para asnaf, ibu tunggal, anak yatim, sukarelawan muda Kota Damansara Madani serta kehadiran sejumlah reformis awal 1998 dan tetamu khas," katanya.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Al Quran oleh Muhammad Afiq, Johan Qari Sekolah-Sekolah Agama Selangor 2022 dan doa oleh Ustaz Zaidan Ismail.
Mustaffa dalam pada itu, amat bersyukur dengan penganjuran majlis berkenaan yang meraikan para reformis pada tahun pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri.
Katanya, kejayaan Anwar sebagai PM adalah kejayaan rakyat yang berjuang untuk kehidupan yang lebih baik.
"Saya rasa syukur dengan kejayaan majlis silaturrahim ini, rakyat Malaysia melepasi fasa pandemik Covid-19, dan kemudian terwujudnya Kerajaan Perpaduan dengan Datuk Seri Anwar selaku PM dengan semangat Malaysia Madani," katanya lagi.
Dalam majlis itu sebanyak 30 sampul wang zakat, 50 sampul duit raya kanak-kanak, 20 saguhati sukarelawan muda Kota Damansara Madani telah disampaikan oleh Mustaffa Kamil Ayub.
Comments