top of page

NGO Melayu N Sembilan gesa dalang isu Tabung Haji diheret ke pengadilan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 days ago
  • 1 min read

Semua pihak yang terlibat dalam isu penyelewengan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan integriti institusi yang menguruskan simpanan umat Islam itu terus terpelihara.


Pengerusi Sekretariat Gabungan NGO Melayu Malaysia, Negeri Sembilan yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Al Abrar, Che Rus Husin (gambar) berkata, pihaknya kesal dengan penyelewengan pengurusan TH kerana ia membabitkan institusi yang menguruskan simpanan umat Islam untuk menunaikan fardu haji.


"Isu penyelewengan Tabung Haji memang sangat dikesalkan kerana ia simpanan rakyat Islam untuk tunai haji. Semua pihak terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya dipetik dalam satu sidang media pada Jumaat.


Menurut laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang diterbitkan pada Rabu, penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH antara 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat selain membuka ruang kepada campur tangan politik dalam proses membuat keputusan.


Ia termasuk berkaitan agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) dipengaruhi unsur politik.


Sementara itu menurut Che Rus, keputusan kerajaan menangguhkan pendedahan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH sebelum ini memberi ruang kepada proses pemulihan dan penambahbaikan TH dilaksanakan terlebih dahulu sebelum ia didedahkan kepada umum.


Tambahnya, usaha pemulihan yang dilaksanakan kerajaan membolehkan kira-kira 75 peratus daripada syor penambahbaikan TH berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sehingga institusi itu mampu mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.


"Kami ingin zahirkan ucapan terima kasih kepada pentadbiran di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana 75 peratus daripada syor tambah baik TH telah dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun ini sehingga TH boleh umum agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page