Kepungan rejim zionis Israel ke atas umat Islam di Gaza memerlukan pembelaan berterusan daripada seluruh dunia.
Prihatin ke atas penderitaan rakyat Palestin, Pertubuhan Suara Prihatin Malaysia (PSPM) pada Sabtu telah melancarkan satu aplikasi bagi mengumpul sumbangan derma bagi umat Islam di Gaza secara atas talian.
Menurut Timbalan Pengerusi Suara Prihatin Malaysia, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, aplikasi tersebut yang dibangunkan di bawah program Misi Talian Hayat Gaza (MTHG) merupakan pelengkap kepada misi NGO tersebut sejak bertahun tahun lalu dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
"Bagi tujuan menyemarakkan lagi program MTHG agar lebih progresif, PSPM telah mengambil inisiatif membangunkan satu platfom sosial media kendiri yang lebih efektif.
"Diperkenalkan sebagai 'Apps MTHG' yang boleh dimuat turun melalui Android dan Apple Store.
"Aplikasi pintar ini adalah milik sepenuhnya PSPM. Fungsi aplikasi ini mirip platfom sosial media antarabangsa yang lain.
"Perbezaannya, Apps MTHG ini bebas dari kekangan dan kawalan pihak luar," katanya dalam sidang media di Shah Alam kelmarin.
Beliau yang juga Presiden protem Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia berkata, pengguna melalui aplikasi tersebut boleh berinteraksi dan berkreativiti dalam pelbagai bahasa. Ia juga akan berperanan menjadi sebuah platfom kerjasama untuk organisasi lain menjalankan aktiviti masing masing.
"Tujuan utama Apps MTHG ini adalah untuk memperkasakan kempen bantuan kemanusiaan dan perjuangan kebebasan warga Palestin," ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya NGO Suara Prihatin ketika ini telah berkerjasama dengan sebuah organisasi antarabangsa iaitu Friends Of Palestine (FOP) yang berpusat di Kuala Lumpur untuk program Misi Talian Hayat Gaza.
Kerjasama itu, katanya bagi mencapai objektif mengumpul dana pembiayaan untuk penyajian makanan 10,000 orang setiap hari di kem pelarian Gaza dan persediaan pasukan sukarelawan bantuan kemanusiaan yang akan berkhidmat di Gaza apabila berlakunya gencatan senjata kelak.
Comments