top of page

NGO hantar memorandum ke istana, maklumkan majoriti rakyat tolak Ismail sebagai PM


Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) hari ini menghantar memorandum ke - 9 ke Istana Negara memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong akan kegusaran majoriti rakyat terhadap kemungkinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia yang baharu.


Menurut Koordinator GBMRM, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa, penolakan rakyat ke atas Ismail adalah 'real' dan Raja-raja Melayu yang akan bermesyuarat pada petang ini diharap dapat membuat pertimbangan dari pelbagai sudut sebelum mengesahkan mana-mana calon diangkat ke jawatan PM.


"Tujuan kami menyerahkan memorandum kali ke 9 adalah berkaitan hal semasa yang terjadi. Kita sedia maklum ura-ura mengatakan YB Bera atau Datuk Ismail Sabri Yaakob akan menjadi PM


"Isu ini yang kita angkat. Sebab majoriti rakyat Malaysia tidak boleh menerima sekiranya hal itu menjadi kenyataan. Lihat sahaja pasaran saham secara mendadak jatuh. Begitu juga ada sahabat kita membuat petisyen di change.org. Setakat ini sudah hampir 400k tandatangan diperolehi.


"Rakyat secara umumnya menolak. Dan seperti mana kita maklum Covid 19 juga meningkat. Yang menjadi persoalan kita apakah bezanya kerajaan Perikatan Nasional (PN) 1.0 dengan PN 2.0? Orang yang sama. Rakyat tak mahu orang yang sama. Beberapa kali rakyat hantar mesej mereka tak mahu orang yang sama," kata Mustapa kepada wartawan dalam sidang media di luar pintu 3, Istana Negara, pagi tadi.


Tegas beliau, pelantikan PM pada waktu pandemik Covid 19 amat berbeza dengan syarat pelantikan pada waktu biasa.


Katanya, ketika pandemik seseorang PM haruslah berwibawa menyatukan rakyat dan mampu membawa keluar negara melalui 'exit plan' yang diyakini dari sudut menyelamatkan nyawa mahu pun memulihkan ekonomi.


"Beberapa pandangan pakar mengatakan bahawa lebih penting saat ini kita mendapatkan seorang PM yang boleh bawa Malaysia keluar dari kemelut. Ini bukan persoalan siapa (peribadi PM), bukan. Ini masalah negara sedang berada dalam krisis. Kalau dibiarkan 'tukar baju' tetapi orang dalam gabungan yang sama, sudah pastilah ada masalah. Iaitu kestabilan politik tidak dapat dijamin.


"Lebih parah lagi semalam tersebar di media di mana Tan Sri Mahiaddin mengeluarkan kenyataan sokongan dari PN (kepada Ismail) bersyarat.


"Bersyarat ini banyak implikasi. Sebab sokongan diberikan 50 Ahli Parlimen PN yang bersyarat ini pasti menimbulkan masalah kepada politik kita di Malaysia.


"Sebab itu kita hantar memorandum supaya Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dapat membuat pertimbangan sewajarnya," kata Mustapa.


Menurut beliau lagi, dalam situasi kecemasan, pelantikan PM bukanlah terhad mengambil kira soal majoriti tetapi perlu memastikan agar negara tidak gagal melawan Covid 19, dan tidak akan menghadapi kempen #KerajaanGagal dari rakyat selepas dilantik.


"Ini hal sangat penting. Walaupun dapat majoriti tetapi apa maknanya kalau majoriti yang diperolehi tidak boleh merubah keadaan politik dan masalah yang kita hadapi.


"Tambahan pula Ismail Menteri Kanan dalam kerajaan PN yang mengurus segala permasalah Covid 19 dan gagal. Ini menjadi persoalan besar," katanya lagi.


Majlis Raja-raja Melayu dijadualkan akan bermesyuarat pada petang ini membincangkan isu pelantikan PM ke 9. Dijangka nama PM akan diumumkan selepas mesyuarat tersebut berakhir.



Berikut isi kandungan memorandum yang dihantar oleh GBMRM kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu:


Merafak sembah penyerahan Memorandum Rakyat kepada Yang Amat Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,


Ampun Tuanku beribu ampun,


Patik sekalian dengan rendah hati merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ke Bawah Duli Tuanku atas perkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perĺetakan jawatan Tan Sri Mahaidin Yassin sebagai Perdana Menteri. Kami mewakili rakyat

Malaysia berdoa agar Kebawah Duli Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan dan dilindungi Allah s.w.t .


Dirgahayu Tuanku. Daulat Tuanku.


Ampun Tuanku,


Politik tanah air terus menjadi polemik perbincangan dan perdebatan hangat menjelang perlantikan Perdana Menteri yang baru. Apa yang menjadi kegusaran rakyat adalah soal siapakah Perdana Menteri yang bakal dilantik dalam masa terdekat yang bakal mencorakkan

masa depan rakyat dan negara.


Malaysia yang dahulunya terkenal dan dihormati dunia sebagai sebuah negara yang maju dan berjaya dalam ekonomi, politik dan sosial masyarakat berbilang kaum yang harmoni, pada hari ini terus dilanda pelbagai krisis kepimpinan akibat pencabulan sistem Raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.


Dan krisis ini hampir memusnahkan impian dan aspirasi rakyat untuk hidup bernegara yang dipimpin oleh sistem tadbirurus yang cekap dan bertanggungjawab berdasarkan rukun negara.


Kami yang mewakili rakyat Malaysia sentiasa meletakkan Institusi Raja sebaga entiti pentadbiran negara yang mulia dan berperanan penting dalam mempastikan pentadbiran negara sentiasa tidak tersasar dari landasan rukun negara.


Ampun Tuanku,


Kegagalan barisan kerajaan PN telah meninggalkan pelbagai titik hitam dalam sejarah dan tradisi demokrasi di negara ini. Terkini, sokongan seramai 114 orang yang dibawa oleh Tan Sri Mahaidin Yassin dengan beberapa syarat sudah pasti mengundang pelbagai kontroversi dan ketidakyakinan rakyat terhadap kemampuannya menstabilkan politik negara, seterusnya tidak mampu menyelesaikan masalah pendemik dan ekonomi yang semakin meruncing. Dan satu tindakan penjajaran baru dalam pentadbiran negara perlu dipertimbangkan dengan hikmah agar kegagalan tidak berulang.


Ampun Tuanku,


Negara amat memerlukan pemimpin yang berketrampilan serba serbi, berwibawa, karismatik, berfikiran strategik, istiqomah dan berjiwa negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.


Bagi tujuan ini, sosok yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah insan ibarat sebutir mutiara berharga, mampu berada dimana- mana keadaan untuk memberi cahaya kemakmuran rakyat dan negara. Nilai -nilai seorang negarawan yang dimiliki beliau telah terbukti dalam pelbagai fasa kepimpinannya bermula sebagai seorang pemimpin pelajar, pengasas persatuan gerakan kemanusiaan, seterusnya seorang menteri dan timbalan perdana menteri.


Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membawa Malaysia memperolehi gelaran " Harimau Asia" ketika beliau menjadi menteri kewangan.


Kegigihan dan kecekalan Datuk Seri Anwar dalam memperjuangkan keadilan sehingga sanggup dihukum penjara adalah satu pengorbanan mulia yang tiada tolok bandingnya di negara ini.


Maka kami merasakan bahawa keperibadian dan kebolehan beliau telah cukup melayakkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia kali ini. Kami percaya bahawa ketika ini, rakyat jelata diluar sana sudah menunggu sekian lama dengan penuh keyakinan dan kesabaran untuk melihat seorang tokoh negarawan bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin dan membawa negara ini keluar dari kemelut politik, ekonomi, sosial dan kesihatan dengan jayanya.


Dunia telah meyakini sumbangan dan potensi Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam peranan mengolah pembaharuan geo-politik Nusantara dan dunia.


Patek sekalian berkeyakinan penuh bahawa hanya Ke Bawah Duli Tuanku dapat memahami dan mempertimbang bagi memperkenan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-9. Patek sekalian yakin bahawa ke bawah Duli Tuanku akan merasakan pilihan kali ini tidak akan mengecewakan Ke Bawah Duli Tuanku untuk mempastikan Malaysia kembali mendapat pengikhtirafan murni dalam dan luar negara.


Ampun Tuanku,


Moga Allah s.w.t menganugerahi rahmat kepada Ke Bawah Duli Tuanku dan seluruh keluarga istana . Aamiin




0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page