top of page

NGO desak kerajaan ambil tindakan pemimpin Pas manipulasi sejarah Islam

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 day ago
  • 2 min read
Dari kiri: Mejar (B) Razali, Shahbudin dan Mustapa Mansor. Gambar arkib
Dari kiri: Mejar (B) Razali, Shahbudin dan Mustapa Mansor. Gambar arkib

Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media dan masyarakat prihatin menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penularan fitnah, penghinaan agama dan naratif melampau di media sosial yang disifatkan semakin membimbangkan serta boleh menggugat keharmonian negara.


Dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan hari ini, kumpulan NGO terbabit menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan budaya fitnah dan manipulasi fakta sejarah Islam yang didakwa semakin berleluasa di pelbagai platform media sosial.


"Kami daripada gabungan NGO media dan masyarakat prihatin ingin menyatakan kebimbangan serius terhadap peningkatan budaya fitnah, penghinaan agama, manipulasi fakta sejarah Islam serta naratif kebencian yang semakin berleluasa di media sosial kebelakangan ini," demikian menurut memorandum itu.


Memorandum bertemakan “Memelihara Kesucian Agama, Menolak Fitnah dan Kebencian” itu ditandatangani Pengerusi MEMO (Pertubuhan Media Digital Malaysia) Mustapa Mansor, Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Shahbudin Embon dan Setiausaha Agung Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat, Mejar (B) Razali Zakaria.


Menurut memorandum tersebut, fenomena yang didakwa membabitkan “sebahagian pemimpin politik pembangkang, cybertrooper serta individu tertentu” yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan bersifat provokatif dan mengelirukan masyarakat.


"Fenomena ini didapati melibatkan sebahagian pemimpin politik pembangkang, cybertrooper serta individu tertentu yang menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan kenyataan bersifat provokatif, ekstrem dan mengelirukan masyarakat terutama melibatkan kesucian agama Islam, institusi ulama serta para sahabat Nabi SAW," kata memorandum itu lagi.


Sehubungan itu, gabungan NGO berkenaan menggesa pihak kerajaan khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama mengambil beberapa tindakan segera termasuk penguatkuasaan undang-undang tanpa kompromi terhadap pihak yang didakwa terlibat menyebarkan fitnah dan kebencian agama.


Antara peruntukan yang dicadangkan untuk digunakan termasuk prinsip 3R (Race, Religion and Royalty), Akta Hasutan, peruntukan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta undang-undang berkaitan keselamatan dan keharmonian awam.


Selain itu, memorandum berkenaan turut menggesa kerajaan memperketat pemantauan dan pembersihan kandungan media sosial yang mengandungi unsur penghinaan agama, fitnah dan tuduhan palsu.


"Segala bentuk kandungan fitnah, penghinaan agama, tuduhan palsu serta perkara haram yang dimuat naik di media sosial hendaklah dipadamkan segera, dinyah daripada platform berkaitan serta dipantau secara konsisten oleh pegawai khas kerajaan melalui pemantauan media sosial secara berterusan," menurut memorandum itu.


NGO terbabit turut mencadangkan pendekatan pemulihan melalui program tarbiyah dan pendidikan akidah terhadap individu yang didapati bersalah selain tindakan undang-undang.


"Individu yang didapati bersalah bukan sahaja dikenakan tindakan undang-undang, malah perlu melalui proses tarbiyah, pemulihan akidah dan pendidikan masyarakat sehingga benar-benar berubah," katanya.


Menurut memorandum itu, pendekatan sama pernah digunakan terhadap bekas anggota kumpulan Al-Arqam dan disifatkan berjaya membantu memulihkan pemikiran ekstrem.


Dalam pada itu, gabungan NGO berkenaan turut menuntut penjelasan terbuka di media arus perdana bagi menangani kekeliruan masyarakat berkaitan isu agama yang tular di media sosial.


Antara cadangan dikemukakan termasuk siaran khas di media utama, forum ilmiah nasional, debat dan penjelasan fakta oleh pakar agama, sejarah serta perundangan.


"Mereka yang terlibat dalam penyebaran fitnah juga wajar dipanggil secara terbuka agar penjelasan dapat diberikan di hadapan jutaan rakyat Malaysia demi mengelakkan kekeliruan berterusan," menurut memorandum itu.


Gabungan NGO berkenaan turut menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memantau kegiatan fitnah media sosial, menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat serta membantu usaha pemulihan dan pendidikan rakyat.


"Kerjasama erat antara kerajaan, NGO dan rakyat amat penting demi mempertahan keharmonian negara serta kesucian agama Islam," kata memorandum itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page